Taufan al-Aqsa tamparan hebat pada negara Arab cuba normalisasi hubungan dengan Israel

BANGI – Serangan mujahidin Palestin terhadap Israel yang dinamakan Operasi Taufan al-Aqsa adalah tamparan hebat terhadap normalisasi hubungan negara-negara Arab dengan Tel Aviv.

Netanyahu sebelum ini kononnya memiliki keyakinan perjanjian ‘bersejarah’ yang diperantara Amerika Syarikat (AS) untuk mewujudkan hubungan diplomatik rasmi antara Israel dan Arab Saudi boleh dicapai.

Dia berkata demikian ketika mengadakan perbincangan dengan Presiden AS, Joe Biden.

Pertemuan di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York City bulan lalu adalah yang pertama antara kedua-dua pemimpin sejak Netanyahu kembali berkuasa akhir tahun lalu.

The Times of Israel melaporkan Arab Saudi secara senyap mengetepikan Inisiatif Keamanan Arab yang ditajanya lebih 20 tahun lalu, dan bersedia untuk kemungkinan menormalkan hubungan dengan Israel tanpa terlebih dahulu memastikan penubuhan negara Palestin, dakwa tiga pegawai yang mengetahui perkara itu.

Membidas perkara itu, Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli berkata, 50 tahun selepas Perang Yom Kippur (6 Oktober 1973) untuk mengambil semula tanah Palestin yang dirampas, perjuangan Palestin melakar sejarah baru melalui serangan kilat berskala besar Sabtu baru-baru ini (7 Oktober 2023). 

Beliau menegaskan, buat pertama kali dalam sejarah, pejuang Palestin dari Gaza berjaya menyusup masuk dari pelbagai arah melalui jalan darat, laut, malah udara ke dalam kawasan tanah haram Israel.

“Selain sebagai balasan terhadap pendudukan haram dan penindasan berterusan oleh rejim Israel ke atas Palestin, serangan terbaharu ini adalah satu tamparan hebat terhadap normalisasi hubungan negara-negara Arab dengan Israel sebagaimana yang diidamkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam ucapannya di PBB beberapa hari lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ustaz Wan Hassan berkata, intifada ini menjadi manifestasi kekentalan semangat juang umat Islam Palestin.

“Biarpun berhadapan seribu satu cabaran seperti sekatan ekonomi, kekurangan sumber, dan kempen pembunuhan terancang ke atas pimpinan mereka, perjuangan Palestin tetap tidak mati malah semakin subur sehingga kini,” katanya.

Justeru, sebagai solidariti, beliau mengajak orang ramai menunaikan solat hajat, melazimi bacaan Qunut Nazilah, dan bermunajat memohon bantuan Allah SWT kepada para pejuang yang sedang berjihad menentang kezaliman di bumi Al-Quds yang kita cintai:

Ustaz Wan Hassan memetik hadis Rasulullah ﷺ yang diriwayat Iman al-Thabarani dan al-Hakim bermaksud “Barangsiapa yang tidak mengambil berat urusan umat Islam, maka bukanlah mereka dari kalangannya.” -Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts