Teladani kisah ustazah meninggal dunia pimpin tahlil, khatam al-Quran

Kerap kali kisah kematian indah seperti menghembuskan nafas terakhir ketika sedang sujud, membaca al-Quran dan membuat kebaikan lain dikongsi terutama menerusi media sosial hingga ramai mencemburuinya.

Hakikatnya, mati dengan pengakhiran baik atau husnul khatimah adalah dambaan setiap hamba Allah SWT beriman.

Inilah yang berlaku antaranya Ustazah Taslimah yang meninggal dunia ketika sedang memimpin program tahlil dan khatam al-Quran di Masjid As Syafiiyah, Jakarta Selatan, Khamis lalu.

Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muhammad Lukman Ibrahim, berkata kematian dalam keadaan yang baik mesti dicari dan diusahakan setiap manusia.

“Kita semua pasti akan mati dan perlu mati dalam keadaan husnul khatimah. Maksud husnul khatimah adalah kematian baik, yang (kita atau orang lain melihatnya) dalam keadaan dia berada dalam ketaatan kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.

“Ia memberi tanda, walaupun bukan satu kepastian bahawa orang ini mendapat kebaikan di akhirat dan menjadi ahli syurga,” katanya.

Memperincikan amalan lain yang membawa kepada husnul khatimah, beliau berkata, seseorang mestilah mempunyai husnul khuluq atau akhlak baik.

“Dalam satu hadis riwayat Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW ditanya mengenai ciri manusia bagaimana paling ramai masuk ke syurga, lalu Baginda menjawab orang paling banyak bertakwa kepada Allah SWT dan mempunyai akhlak baik.

“Jika diulas hadis ini, konteksnya sangat luas. Hari ini orang kita suka menulis dan bercakap dengan bahasa kesat, kononnya ia menunjukkan sikap terbuka dan tidak berlapik, sedangkan ia bertentangan akhlak baik.

“Orang Melayu ini kaya dengan sifat malu, mahu cakap lebih-lebih pun rasa malu. Sikap ini termasuk antara akhlak baik. Namun, kalau malu itu maksudnya malu berkata benar, ia tidak betul. Jika malu untuk katakan perkara sepatutnya dia boleh sembunyikan, maka itu benar,” katanya.

Justeru, katanya, umat Islam tidak sepatutnya terpengaruh dengan dakyah kononnya tidak mengapa untuk lantang bersuara dalam segenap hal, sebagaimana dibawa Barat, sedangkan ia bukan ajaran Nabi Muhammad SAW.

“Antara amalan lain perlu dibuat ke arah mendapat husnul khatimah adalah memperbanyakkan perbuatan baik seperti solat, berzikir dan bersedekah. Perbuatan ini akan menyebabkan seseorang disibukkan dengan perkara agama, jadi secara tidak langsung tidak ada masa melakukan benda tidak selari dengan agama.

“Sebab melakukan perkara berlandaskan agama ketika hidup, akhirnya dia mati dengan husnul khatimah,” katanya.

Beliau turut berkongsi satu kisah benar mengenai kematian boleh memberi inspirasi kepada umat Islam bagi mengejar husnul khatimah.

“Seorang lelaki berumur 40-an mengaji dengan saya, menceritakan cara kematian ayahnya luar biasa. Allahyarham semasa meninggal dunia, berusia hampir 80 dan memang sudah menjadi kelaziman, beliau kerap baca surah panjang dalam solat.

“Pada detik kematian, ayahnya mengerjakan solat dhuha dan seperti biasa solat agak lama. Namun, anaknya pelik kerana selepas setengah jam masih belum selesai, sebaliknya masih berdiri lebih sejam.

“Apabila terlalu lama, beliau memeriksa ayahnya yang rupa-rupanya sudah meninggal dunia dalam keadaan keras. Kakitangan ambulans mengesahkan arwah meninggal dunia dalam keadaan berdiri sewaktu solat,” katanya.

Beliau berkata, inilah kelebihan orang sentiasa solat yang kematiannya dianggap sangat hebat kerana ketika sedang mengerjakan ibadat itu dan membaca ayat al-Quran.

“Kita wajib mati dan semestinya juga wajib meninggalkan dunia ini dalam keadaan husnul khatimah,” katanya.- Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts