Teladani semangat rakyat Palestin bergelut pertahan tanah air: Khutbah

BANGI – Khutbah hari ini mengajak umat Islam menghayati sejarah kemerdekaan negara dan menghargai warisan yang ditinggalkan pejuang terdahulu. 

Tindakan itu bagi membina semangat mempertahankan kedaulatan serta memutikkan perasaan cintakan tanah air.

Justeru, khutbah mengingatkan bahawa cinta kepada negara mesti disemai melalui kebersamaan seperti perasaan hormat di antara kaum, sumbangan tenaga dan idea serta perkongsian kebahagiaan sesama masyarakat.

Khutbah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) itu berkata, sebagai muslim, tiada tujuan lain untuk rasa cintakan negara selain kerana Allah SWT.

“Bumi yang kita pijak ini ialah tanah tumpahnya darah kita dan disinilah perlunya kita memelihara keamanan untuk terus hidup dengan penuh kedamaian.

“Kita bertanggungjawab untuk menjaga kesucian agama dan kedaulatan negara daripada sebarang anasir keganasan, kezaliman mahupun penindasan,” katanya.

Sehubungan itu, Jawi mengajak umat Islam di negara ini mengambil pengajaran sebagaimana rakyat Palestin khususnya di Semenanjung Gaza, yang masih bergelut dengan kehilangan nyawa dan harta benda.

“Namun, mereka sekali-kali tidak akan tunduk menggadaikan maruah tanah air kepada para penjajah Zionis Israel.

“Mereka berada di medan juang yang tidak berkesudahan, berjuang menentang penjajah yang sentiasa angkuh cemburukan kedamaian dan ketenteraman mereka,” katanya.

Atas sebab itu, semangat rakyat Palestin di Gaza harus diteladani umat Islam dalam mendepani cabaran melestarikan kemakmuran negara.

“Di samping itu, pamerkan semangat patriotik dalam kehidupan seharian, pemikiran, percakapan dan tindakan membela dan mempertahankan kepentingan negara.

“Sumbangkan sebarang pendapat dalam apa yang kita rasakan baik dan sihat untuk negara,” kata khutbah. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts