Telefon berbunyi ketika solat, boleh ke matikannya?

1. Tidak mengapa seseorang itu mematikan telefonnya ketika solat dengan syarat dia menjaga pergerakkannya. Ini kerana ringtone telefon amat mengganggu jemaah lain untuk khusyuk.

Rasulullah pernah menegur sahabat yang membaca al-Quran di dalam masjid dengan suara yang kuat kerana dikhuatiri mengganggu jemaah lain. Kisah ini diriwayatkan oleh Abu Daud yang menyebutkan:

اعتكف رسول الله صلى الله عليه وسلم في المسجد فسمعهم يجهرون بالقراءة فكشف الستر وقال : ألا إن كلكم مناج ربه فلا يؤذين بعضكم بعضا ولا يرفع بعضكم على بعض في القراءة – أو قال في الصلاة

“Suatu hari Rasulullah beriktikaf di dalam masjid dan Baginda mendengar ada sahabat yeng menguatkan bacaan (al-Quran) mereka. Rasulullah lalu menyelak tabir Baginda dan berkata:

Bukankah kamu semua sedang bermunajat kepada Allah? Janganlah ada sebahagian kamu menyakiti (mengganggu) yang lain. Jangan pula kamu tinggikan suara kamu di dalam bacaan (al-Quran kamu) (sebahagian riwayat menyatakan meninggikan suara ketika solat kamu).” (HR Abu Daud).

2. Bayangkan, andai sekiranya perbuatan meninggikan suara ketika membaca al-Quran pun dilarang oleh Rasulullah kerana mengganggu ibadah jemaah yang lain, apatah lagi ringtone dengan lagu yang merosakkan tumpuan orang lain dalam solat mereka.

3. Bagaimana pula pergerakan yang diharuskan ketika dalam solat untuk mematikan telefon? Seseorang itu diharuskan untuk melakukan pergerakan kecil atas tujuan yang dibenarkan oleh syarak. Beberapa hadith menunjukkan Rasulullah melakukan pergerakan kecil dalam solat atas keperluan yang diharuskan oleh syarak.

4. Sebagai contoh Baginda pernah mendokong cucu Baginda yang bernama Umamah ketika Nabi sedang solat. Perkara ini direkodkan di dalam Sahih al-Bukhari yang menyebutkan:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُصَلِّي وَهُوَ حَامِلٌ أُمَامَةَ بِنْتَ زَيْنَبَ بِنْتِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَإِذَا سَجَدَ وَضَعَهَا، وَإِذَا قَامَ حَمَلَهَا

“Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah mendirikan solat sambil mendokong cucu Baginda bernama Umamah binti Zainab. Ketika Baginda ingin sujud, Baginda meletakkan Zainab dan ketika Baginda bangun, Baginda mengambil dan mendokongnya semula.” (HR al-Bukhari)

5. Rasulullah juga dilihat pernah memindahkan orang di dalam solat. Perkara ini diceritakan oleh Abdullah ibn Abbas yang menyebutkan:

قَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي مِنَ اللَّيْلِ، فَقُمْتُ أُصَلِّي مَعَهُ، فَقُمْتُ عَنْ يَسَارِهِ، فَأَخَذَ بِرَأْسِي، فَأَقَامَنِي عَنْ يَمِينِهِ

“Rasulullah pernah mendirikan solat pada satu malam lalu aku solat bersamanya. Aku berdiri disebelah kiri Rasulullah. Rasulullah lalu memegang kepalaku dan menarikku ke sebelah kanan Baginda.” (HR al-Bukhari)

6. Rasulullah pernah membuka pintu ketika mendirikan solat sunat. Perkara ini diceritakan oleh Aisyah yang menyebutkan:

اسْتَفْتَحْتُ الْبَابَ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي تَطَوُّعًا وَالْبَابُ عَلَى الْقِبْلَةِ فَمَشَى عَنْ يَمِينِهِ أَوْ عَنْ يَسَارِهِ، فَفَتَحَ الْبَابَ ثُمَّ رَجَعَ إِلَى مُصَلَّاهُ

“Aku cuba membuka pintu ketika Rasulullah sedang mendirikan solat sunat. Dan ketika itu pintu tersebut berada di arah Kiblat. Maka Rasulullah bergerak ke kanan atau ke kiri, lalu Baginda membuka pintu tersebut. Kemudian kembali ke tempat solatnya lalu meneruskan solat Baginda.” (HR al-Nasa’i)

7. Jika diperhatikan hadith di atas, pergerakan yang dilakukan oleh Rasulullah ketika solat tidak membatalkan solat Baginda. Menurut Mazhab Syafie, terdapat beberapa syarat yang mesti dijaga oleh seseorang bagi mengelakkan solatnya terbatal. Perkara yang mesti dijauhi ketika seseorang ingin mematikan telefon itu adalah:

a. Pergerakan yang banyak
b. Pergerakan yang bukan daripada pergerakan solat yang jelas seperti berjalan dengan sengaja (tanpa keperluan) atau memukul.
c. Dilakukan dengan sengaja dalam keadaan seseorang itu tahu perbuatan tersebut dilarang.
d. Pergerakan yang dilakukan secara berturut-turut.
e. Pergerakan yang tiada keperluan syarak yang membenarkannya.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts