Tetapkan matlamat hidup bukan sekadar kejayaan diri semata tapi buat agama, bangsa dan negara

BANGI – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) menzahirkan ucapan tahniah kepada seluruh calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang menerima keputusan hari ini.

Presidennya, Ahmad Syahman Ahmad Tamrin berkata, keputusan cemerlang yang diperoleh hari ini perlu dijadikan sebagai motivasi untuk terus maju ke hadapan, dan seterusnya konsisten mengekalkan prestasi di peringkat yang lebih tinggi.

Beliau menasihatkan kepada setiap lepasan SPM tidak kira apa pun keputusan yang diterima, mereka perlu bangkit dengan semangat dan keazaman untuk mencipta kejayaan di masa akan datang.

“Apa pun keputusannya, ini bukanlah pengakhiran kepada sebuah destinasi. Apa yang lebih utama adalah setiap individu perlu merangka persiapan dan perancangan untuk menempuh fasa kehidupan seterusnya.

“Saya menyeru dan mengajak sekalian ‘SPM Leavers’ untuk melaksanakan 2 perkara utama ini usai menerima keputusan SPM, iaitu pertama, tetapkan matlamat hidup.

“Letakkan sasaran hidup bukan sekadar kejayaan diri semata tetapi kejayaan buat agama, bangsa dan negara,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Kedua, beliau berkata, lepasan SPM juga disarankan mendapatkan khidmat nasihat dan bimbingan untuk hala tuju pasca peperiksaan.

“Gunakan waktu muda ini untuk menimba ilmu ke peringkat yang lebih tinggi.

“Sekali lagi tahniah dan syabas kepada semua calon SPM 2023, kepada yang akan menyambung pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT), kami di PEMBINA tidak sabar menyambut ketibaan anda. Jumpa anda di sana,” katanya.

Terdahulu, dilaporkan bahawa keputusan SPM 2023 mencatatkan pencapaian lebih baik dengan Gred Purata Nasional (GPN) 4.60, berbanding 4.74 pada 2022.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan, berkata, seramai 11,713 calon memperoleh keputusan cemerlang, iaitu Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran pada 2023, dibandingkan dengan 10,109 calon pada 2022, sekali gus mencatatkan peningkatan.

Azman berkata, pencapaian SPM 2023 antara bandar dan luar bandar menunjukkan peningkatan, namun jurang pencapaian calon kekal pada 0.43 mata seperti SPM 2022.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts