Peranan Kita dalam Komuniti Setempat: Bukan Sekadar Tinggal di Sini
Ramai orang menganggap rumah hanyalah tempat untuk berteduh dan berehat. Hakikatnya, setiap individu itu sama ada dia menyewa, membeli, atau menumpang di sesuatu kawasan adalah sebahagian daripada komuniti setempat.
Kalau kita hanya “duduk diam” di rumah tanpa berinteraksi, bukan sahaja kita terlepas peluang membina hubungan baik, malah komuniti itu juga kehilangan potensi untuk berkembang.
1. Kenali Jiran & Warga Sekitar
Langkah pertama membina komuniti yang selamat dan harmoni adalah dengan mengenali orang sekeliling.
- Sapa jiran setiap kali berselisih.
- Sertai majlis atau aktiviti kejiranan.
- Bertukar nombor telefon untuk urusan kecemasan.
- Menghantar sedikit makanan ketika musim perayaan atau bila ada rezeki lebih.
Apabila kita saling mengenali, rasa percaya dan tolong-menolong akan terjalin secara semula jadi.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah ia memuliakan jirannya.”
(HR. Bukhari & Muslim)
2. Sertai Aktiviti & Gotong-Royong
Jangan tunggu jadi AJK baru nak turun padang. Menyertai aktiviti seperti gotong-royong, pembersihan taman, atau program kemasyarakatan membantu mencipta suasana mesra dan rasa kepunyaan terhadap kawasan tersebut.
Sekiranya aktiviti ini tidak dilaksanakan bersama, maka;
- Kawasan jadi kotor, kurang terurus, dan mudah jadi sasaran jenayah.
- Tiada semangat persaudaraan, semua orang buat hal sendiri.
- Mesyuarat dan apa-apa perbincangan hal berkaitan komuniti tak dapat dibuat kerana tiada penglibatan ahli komuniti.
Allah SWT berfirman:
“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.”
(Surah Al-Ma’idah: 2)
3. Ambil Berat Hal Keselamatan
Komuniti yang prihatin adalah komuniti yang selamat.
- Peka dengan pergerakan orang asing yang mencurigakan.
- Sertai rondaan sukarela jika ada.
- Laporkan segera sebarang kejadian yang mengancam keselamatan.
Bila semua orang berkongsi tanggungjawab, risiko jenayah akan berkurang.
4. Kongsi Kemahiran & Pengetahuan
Setiap orang ada kelebihan tersendiri. Ada yang pandai membaiki, ada yang pakar memasak, ada yang mahir komputer. Berkongsi kemahiran dengan jiran atau menganjurkan kelas kecil dapat mengeratkan hubungan sambil memberi manfaat kepada ramai.
Antara aktiviti yang boleh dibuat ialah:
- Mengajar kelas mengaji di surau.
- Mengadakan bengkel asas membaiki paip, memasak, atau kemahiran komputer untuk jiran.
- Berkongsi maklumat pekerjaan atau peluang perniagaan dalam kumpulan WhatsApp komuniti.
5. Jadilah Warga yang Prihatin
Kadang-kadang perkara kecil membawa kesan besar. Keprihatinan membantu jiran mengangkat barang, menjaga anak jiran seketika, atau sekadar bertanya khabar. Sikap ini mencipta rasa hormat dan kasih sayang dalam komuniti.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Tidak beriman salah seorang dari kamu hingga dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri.”
(HR. Bukhari & Muslim)
Komuniti yang kuat terbina daripada penglibatan aktif setiap anggotanya. Tinggal di sesuatu kawasan tanpa berinteraksi mungkin lebih “selesa” bagi sesetengah orang, tetapi kita akan kehilangan peluang membina jaringan sokongan yang berharga.
Dengan saling mengenali, menjaga, dan menyumbang kepada komuniti, kita bukan sahaja mewujudkan persekitaran yang harmoni dan selamat, malah memberikan manfaat langsung kepada diri sendiri.
Kalau semua orang memainkan peranan, komuniti akan jadi lebih mesra, lebih bersatu, dan lebih selamat untuk didiami.