GAZA — Ketika mentari mula menyingsing di langit Gaza pada Isnin pagi, bunyi tembakan kembali bergema — bukan di medan perang, tetapi di tapak agihan bantuan makanan. Di situ, rakyat Palestin yang kelaparan dan tidak bersenjata hanya mahu secebis roti. Namun, apa yang mereka terima ialah peluru.
Tiga lagi terkorban, lebih 30 tercedera. Mereka bukan pejuang bersenjata. Mereka adalah manusia yang sudah terlalu lama bertarung dengan kelaparan, kehilangan dan ketakutan. Ini adalah kali kedua dalam tempoh dua hari tentera Israel melepaskan tembakan di kawasan yang sama di selatan Gaza.
“Saya lihat mereka datang hanya untuk sedikit makanan. Tiada senjata, tiada ancaman. Tetapi tembakan dilepaskan tanpa amaran,” lapor Tareq Abu Azzoum dari Al Jazeera.
Beliau berada di Deir el-Balah, lokasi tragedi itu, dan menyaksikan sendiri bagaimana harapan diragut di depan mata.
Hospital lapangan Palang Merah menerima kira-kira 50 mangsa, dua daripadanya sudah tidak bernyawa ketika tiba. Serpihan peluru dan tembakan tepat menjadikan tubuh mereka penuh luka. Seorang pemuda, Moataz al-Feirani, 21 tahun, ditembak ketika berjalan ke arah pusat bantuan.
“Kami tiada apa-apa. Mereka melihat kami dari langit. Kami hanya mahu makan,” katanya dengan suara sebak, sambil menceritakan tentang dron yang berlegar-legar sebelum tembakan bermula jam 5:30 pagi.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, tidak mampu berdiam. Dalam suara penuh kecewa, beliau menggesa siasatan bebas segera dijalankan. “Ini tidak boleh diterima. Rakyat Palestin mempertaruhkan nyawa hanya untuk makanan. Ini harus dihentikan. Keadilan mesti ditegakkan.”
Namun, tentera Israel menafikan segala dakwaan. Mereka hanya mengakui melepaskan “tembakan amaran”. Pada masa sama, Gaza Humanitarian Foundation (GHF) — yang menjadi lokasi insiden — menafikan kejadian itu berlaku, walaupun organisasi itu sendiri sedang bergelut dengan kontroversi apabila pengasasnya, bekas Marin Amerika Jake Wood, meletakkan jawatan setelah mempersoalkan keberkecualian dan integriti badan itu.
Realitinya, Gaza semakin kritikal. Dua juta penduduk berdepan kekurangan makanan, ubat, air dan bahan api. Anak-anak Palestin — yang tak mengerti apa itu politik — kini bergelut dengan kebuluran. PBB telah memberi amaran bahawa ribuan bakal mati jika dunia terus membisu.
Kematian Tidak Pernah Berhenti
Dalam masa 24 jam sahaja, sekurang-kurangnya 51 nyawa rakyat Palestin terkorban, manakala 503 lagi cedera akibat serangan udara Israel di pelbagai kawasan.
Di Jabalia, Gaza utara, tujuh kanak-kanak terbunuh apabila rumah mereka dibedil. Di Deir el-Balah dan Khan Younis, serangan udara dan dron terus meragut nyawa.
Namun, seolah-olah itu belum cukup, Israel mengeluarkan arahan pemindahan baharu kepada lebih ramai penduduk Khan Younis. Arahannya jelas — kosongkan rumah anda, atau tanggung akibatnya. Kini, lebih 80 peratus wilayah Gaza telah dijadikan zon kawalan tentera atau kawasan pemindahan paksa.
Impian Mereka Dimusnahkan Sedikit Demi Sedikit
Gaza bukan sekadar peta. Ia adalah rumah kepada 2.3 juta manusia — ibu, bapa, anak kecil. Tetapi kini mereka ditolak ke kawasan sempit di selatan Gaza, dekat sempadan Mesir. Tiada air. Tiada elektrik. Tiada hospital. Hanya sisa-sisa hidup.
Imej satelit menunjukkan tentera Israel membersihkan tanah dan membina infrastruktur ketenteraan di kawasan yang telah dikosongkan. Penganalisis menyifatkan ia sebagai pelan jangka panjang untuk mengusir rakyat Palestin dari tanah air mereka sendiri.
“Ini bukan rahsia lagi. Ini adalah pembersihan etnik,” kata penganalisis politik Xavier Abu Eid.
Sumber : AlJazeera