Tidak menjadi kesalahan jika solat tarawih panjang

  1. Pada hakikatnya bukanlah menjadi satu kesalahan untuk para Imam membaca panjang dalam solat sunat mereka. Ini kerana, Rasulullah sendiri mendirikan solat sunat dengan bacaan yang panjang.
  2. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim, Saidina Huzaifah sendiri menceritakan pengalaman beliau bagaimana Rasulullah membaca surah al-Baqarah, al-Nisa dan Ali Imran dalam satu rakaat. Kata beliau:

صَلَّيتُ مع النَّبيِّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم ذاتَ ليلةٍ، فافتتح البقرةَ، فقلتُ يركعُ عند المائة، ثم مضَى فقلتُ يصلِّي بها في ركعةٍ، فمَضَى، فقلتُ يركعُ بها، ثم افتتح النساءَ: فقرأها،

“Aku pernah menunaikan solat (sunat) bersama dengan Nabi pada satu malam, lalu Baginda memulakan solat dengan membaca Surah al-Baqarah. Aku berharap Baginda akan berhenti pada 100 ayat yang pertama, tetapi Baginda meneruskan bacaan sehingga selesai membaca surah al-Baqarah. Kemudian aku berharap Baginda rukuk, namun Baginda membaca pula surah al-Nisa… (HR Muslim)

  1. Pengalaman yang sama diceritakan oleh Saidina Abdullah bin Mas’ud yang menyebutkan bahawa dia pernah menunaikan solat malam bersama Nabi dalam keadaan Nabi memanjangkan bacaan Baginda. Kata Ibn Mas’ud:

أطال النبي صلى الله عليه وسلم القيام حتى هممت بأمرٍ سوء، قالوا: بم هممت؟ قال: هممت أن أجلس وأدعه،

“Nabi pernah memanjangkan solat qiyam Baginda sehingga aku berharap kepada perkara yang tidak elok. Sahabat bertanya: Apa yang engkau harapkan ketika itu? Ibn Mas’ud menjawab: Aku ingin duduk dan solat sendiri.” (HR al-Bukhari)

  1. Berdasarkan riwayat di atas, jelas menunjukkan bahawa Baginda Nabi pernah menunaikan solat sunat berjemaah dengan membaca surah yang panjang. Namun Baginda melarang para sahabat dari memanjangkan bacaan dalam solat fardu. Ini seperti mana teguran Rasulullah kepada Saidina Muaz bin Jabal.
  2. Begitulah juga yang dilakukan oleh para sahabat Nabi. Pada zaman Saidina Umar, beliau melantik Saidina Ubai menjadi imam tarawih dan beliau membaca dengan bacaan yang panjang sehingga ada sahabat yang mula memegang tongkat. Perkara ini diceritakan oleh al-Sa’ib ibn Yazid:

أَمَرَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أُبَيَّ بْنَ كَعْبٍ وَتَمِيمًا الدَّارِيَّ أَنْ يَقُومَا لِلنَّاسِ بِإِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً، وَكَانَ الْقَارِئُ يَقْرَأُ بِالْمِئِينَ حَتَّى كُنَّا نَعْتَمِدُ عَلَى الْعِصِيِّ مِنْ طُولِ الْقِيَامِ، وَمَا كُنَّا نَنْصَرِفُ إِلَّا فِي فُرُوعِ الْفَجْرِ

“Umar ibn al-Khattab telah memerintahkan Ubai ibn Kaab dan Tamim al-Dari untuk menjadi imam (mendirikan tarawih) sebanyak sebelas rakaat. Dan setiap mereka membaca ratusan ayat sehingga ada dalam kalangan kami yang mula bertongkat disebabkan panjangnya qiam mereka. Dan kami tidak beredar melainkan setelah beberapa ketika hampir waktu fajar (subuh). (Sunan al-Kubra li al-Baihaqi, no: 4287)

  1. Ini menunjukkan adalah tidak salah bagi imam untuk membaca panjang sejuzuk seperti yang dilakukan pada setengah tempat. Dan tradisi menghabiskan bacaan al-Quran dalam tarawih juga telah dilakukan oleh sebahagian salafusoleh. Al-Imam al-Zahabi merekodkan mengenai qiamullail al-Imam al-Bukhari:

كَانَ مُحَمَّدُ بنُ إِسْمَاعِيْلَ يختمُ فِي رَمَضَانَ فِي النَّهَارِ كُلَّ يَوْمٍ خَتْمَةً وَيقومُ بَعْدَ التّروَايحِ كُلَّ ثَلاَثِ لَيَالٍ بخَتْمَةٍ.

“Sesungguhnya Muhammad ibn Ismail (al-Bukhari) akan mengkhatamkan al-Quran pada setiap hari dalam bulan Ramadan. Dan beliau mendirikan solat malam selepas dari solat tarawih di mana setiap tiga malam beliau akan mengkhatamkan satu al-Quran.” (Siyar A’lam al-Nubala, 10/103).

Semoga Allah membimbing kita

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts