Tidak perlu perdebatkan isu amalan zikir, tasbih

SHAH ALAM – Umat Islam khususnya individu yang mempunyai pengikut di media sosial digalak untuk menyatakan dengan jelas asal usul guru yang mengajarnya apabila berkongsi amalan sesuatu zikir atau bertasbih bagi mengelak wujudnya sebarang fitnah.

Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, penjelasan itu penting sebagai sandaran supaya setiap perkongsian yang dibuat itu tidak dipersoal oleh pihak lain.

Bagaimanapun jelasnya, tidak ada jumlah tertentu yang diwajibkan ke atas umat islam dalam bertasbih atau berzikir kerana ia merupakan amalan sunat dan boleh dilakukan mengikut kemampuan masing-masing.

“Bagi saya isu ini tidak perlu diperdebat atau pun dipanjangkan pun kerana amalan membaca zikir atau bertasbih adalah perkara sunat dan sangat digalakkan supaya menjadi amalan umat Islam.

“Jadi, kita tidak boleh kata orang ini salah, orang itu salah dan sebagainya kerana kita tidak tahu siapa guru yang mengajarnya tentang amalan tersebut.

“Tidak ada halangan pun kalau seseorang itu ingin mengatakan berapa jumlah bacaan tasbih atau zikir yang diamalkan oleh mereka, cuma kalau boleh kita nyatakan sekali siapa yang buat (guru), asal usul dan sanad dari mana, barulah orang yang melihatnya (video dikongsikan) jelas,”katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkongsian amalan bacaan zikir dan tasbih seorang usahawan yang juga ibu kepada selebriti terkenal yang mencetuskan perdebatan di media sosial ketika ini.

Berdasarkan video tular yang dipercayai di rakam di Makkah itu, usahawan berkenaan berkongsi ‘petua’ zikir dan doa dengan mengulang bacaan basmalah sebanyak 787 tanpa henti sebagai usaha untuk keluar daripada kesulitan hidup.

Dalam pada itu, Abdul Rahman turut menasihatkan mana-mana individu terutamanya yang bertaraf selebriti serta mempunyai pengikut tersendiri supaya berhati-hati dalam berkongsi ilmu agama.

Jelas, tidak salah untuk umat Islam menyebarkan ilmu atau mengajak ke arah kebaikan tetapi ia perlu dilakukan mengikut cara yang betul supaya tidak berlaku kekeliruan dalam hal agama. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts