Haram umat Islam lakon watak malaikat – Mufti

PUTRAJAYA: Umat Islam diharamkan membawa watak malaikat dalam lakonan kerana ia akan membuka ruang kepada golongan berniat jahat menghina agama Islam.

Perkara itu dijelaskan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menerusi artikel terbaharu Irshad Al-Fatwa dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, segala gambaran imej malaikat dalam lakonan tersebut yang tidak bertepatan dengan al-Quran dan Sunnah adalah dilarang.

“Larangan ini termasuk dengan perkataan atau perbuatan seperti melukis, bertindak, bercakap atau sebaliknya.

“Melakonkan watak malaikat di dalam filem secara tidak langsung merendahkan kedudukan malaikat sebagai makhluk yang suci.

“Hal ini bercanggah dengan kehadiran malaikat yang hanya diketahui menerusi wahyu daripada Allah SWT,” katanya.

Katanya, malaikat adalah makhluk yang mempunyai kedudukan dan keistimewaannya dalam Islam kerana mereka ini ialah makhluk yang taat dalam melaksanakan perintah Allah SWT.

Dalam pada itu, PMWP berkata, lakonan manusia menyerupai malaikat banyak diadaptasi dalam filem-filem di barat sejak sekian lama.

“Amat menyedihkan jika masyarakat Islam meniru gaya pemikiran orang-orang Barat itu,” katanya.

Katanya, Majlis Ulama Kanan Arab Saudi menjelaskan fatwa bahawa menggambarkan watak para nabi, malaikat, Khulafa’ ar-Rashidin dan para sahabat merupakan satu perbuatan tercela.

Larangan melakonkan watak malaikat juga bertepatan dengan Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-bahan Penyiaran Berunsur Islam pada tahun 2015.

Kriteria penapisan bahan-bahan multimedia dan penyiaran berunsur Islam menggariskan bahawa ‘tidak melakonkan atau menggambarkan sebarang ilustrasi atau watak para nabi, malaikat, syaitan dan perkara-perkara Sam’iyyat dan Ghaibiyyat.

Sebelum ini, masyarakat Islam di negara ini digemparkan dengan sebuah filem dimana pelakon lelakinya yang beragama Islam melakonkan watak malaikat dalam filem berkenaan. – UTUSAN

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts