Timbang tujuan pensyariatan Islam isu doula

 

KELAHIRAN di rumah, bertemankan doula (peneman bersalin) dan menolak nasihat doktor untuk bersalin di hospital menjadi trend mutakhir ini. Apa yang amat dikesali kerana keputusan itu dibuat berdasarkan pemahaman salah mengenai apa itu kaedah Islamik dan apa yang tidak.

Baru-baru ini akhbar melaporkan kes kelahiran di rumah yang berakhir dengan kematian kerana bayi songsang lemas akibat kepala terlalu lama tersangkut dalam rahim. Ibu hanya ditemani suami dan berpandukan arahan doula yang tidak mempunyai asas perbidanan rasmi.

Ini mengingatkan saya mengenai kes hampir sama tetapi lebih sedih kerana membabitkan kematian ibu pada 2013. Si ibu yang bersalin di rumah, juga ditemani doula meninggal dunia akibat tumpah darah setelah uri dibiarkan di dalam rahim selama beberapa jam. Sama seperti di atas, doula terbabit terpaksa melakukan resusitasi (CPR) melalui panggilan telefon kerana tidak mempunyai ilmu asas mengenainya!

Ya, ajal memang ditentukan qada dan qadar tetapi Islam menekankan kepentingan ikhtiar dan pengetahuan jelas yang dapat membantu kita membuat keputusan bersandarkan pengalaman dan ilmu pengetahuan.

Ramai tersalah anggap bahawa natural bermaksud Islamik sehingga beranggapan natural ialah menyerahkan segala urusan di tangan Allah, manakala jika ada campur tangan, seseorang itu dituduh tidak cukup iman akibat terlalu bergantung kepada manusia lain dan teknologi. Ini pandangan salah.

Maqasid syariah dalam perubatan moden

Saya berpeluang menjadi pengajar di dua fakulti perubatan terkemuka, iaitu dulunya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan kini Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Mahasiswa kedua-dua institusi ini difahamkan Islam meliputi pendekatan meluas dalam teknik penyiasatan dan rawatan serta mencakupi skop menyeluruh. Pelajar diajar konsep maqasid syariah atau tujuan hukum syariah yang meliputi lima, iaitu melindungi agama atau hifz ad-din; nyawa (hifz an-nafs); akal (hifz al-aql); keturunan (hifz an-nasl) dan harta (hifz al-maal).

Dalam maqasid syariah, tidak dinyatakan secara khusus dengan cara bagaimanakah seseorang dapat melindungi lima prinsip terbabit, selain tidak disebut sama ada kaedah natural atau campur tangan perubatan moden. Jika salah satu cara terbukti lebih baik dalam melindungi nyawa misalnya, kita perlu memilih kaedah berkenaan. Bahkan untuk melindungi nyawa, adalah menjadi WAJIB untuk kita memilih kaedah lebih baik.

Bidang perbidanan, pengurusan aktif kelahiran

Bidang perbidanan, sama ada di negara ini atau negara luar berjaya mengumpul banyak data mengenai risiko melahirkan di rumah, iaitu risiko yang terpaksa dihadapi nenek moyang kita dulu.

Ada kes pendarahan selepas bersalin akibat uri tidak keluar yang memerlukan pemindahan darah atau kes tali pusat melilit leher bayi hingga sukar bernafas dan memerlukan alat bantu pernafasan (ventilator). Selain itu, ada kes kelahiran memakan masa terlalu lama sehingga bayi terpaksa dikeluarkan secara pembedahan Caesarean yang semua kes terbabit hanya boleh dikendalikan di hospital.

Memberi suntikan ubat tertentu yang membolehkan rahim mengecut lebih pantas bagi mengelak tumpah darah dan membantu ibu mengeluarkan uri (prosedur dinamakan control cord traction) ialah prosedur di bawah Pengurusan Aktif Tahap Ketiga Kehamilan (AMTSL). Ya, prosedur ini membabitkan penggunaan ubatan, dibantu manusia lain, iaitu doktor dan jururawat perbidanan serta menggunakan mesin. Namun, maqasid syariah mengutamakan prinsip melindungi nyawa, bukan cara.

Qawaid syariah

Ini membawa kita kepada konsep lima prinsip perundangan (qawaid syariah), iaitu prinsip niat, keyakinan, kemudharatan, keberatan dan uruf atau adat.

Dalam prinsip keyakinan, ia merujuk kepada keyakinan yang tidak boleh dibatal atau diubah suai oleh sesuatu yang tidak meyakinkan, iaitu al-yaqin la yazuulu bil-syaq. Suka saya tekankan sebarang rawatan atau tindakan manusia sepatutnya tidak berdasarkan bukti baharu yang tidak mencapai tahap meyakinkan.

Prinsip keyakinan berdasarkan ilmu dalam urutan menurun, iaitu yaqin (yakin); ghalabatul dzon (tekaan yang utama); dzon (tekaan) dan syaq (keraguan).

Dalam bidang perubatan, untuk mencapai tahap yakin dalam membuat sesuatu keputusan penting, seseorang sekurang-kurangnya perlu di tahap ghalabatul dzon bersandarkan fakta (daripada eksperimen, pemerhatian dan kajian). Kemungkinan 50-50 saja tidak mencukupi.

Ini memerlukan banyak kajian dan pengajian mendalam. Oleh itu, perubatan berdasarkan pembuktian, manakala kajian menyeluruh adalah bersifat sangat Islamik memandangkan ia selari dengan objektif mencapai qawaid syariah.

Justeru, saya sukar memahami sikap segelintir masyarakat yang menolak perubatan moden dengan mengatakan ia kurang Islamik.

Tujuan mengeluarkan uri secepat mungkin

Kes seorang ibu dilaporkan meninggal dunia akibat uri tertinggal lebih daripada beberapa jam semata-mata menunggunya keluar secara semula jadi amatlah dikesali. Banyak kajian membuktikan AMTSL berjaya mengurangkan tumpah darah sebanyak 60 hingga 70 peratus. Ini hanya membandingkan kes bersalin di hospital dengan kelengkapan lengkap. Pada pandangan saya, AMTSL juga membantu walaupun semasa melahirkan di rumah. AMTSL yang tidak dibantah syarak dan dibuktikan keberkesanannya serta mengikut prinsip memelihara nyawa, sepatutnya menjadi pilihan golongan ibu.

Begitu juga dalam kes kelahiran songsang. Kajian metaanalisis membabitkan 258,953 kes wanita mengandung, menyatakan kelahiran bayi songsang secara melalui vagina (vaginal delivery) mempunyai risiko komplikasi lebih tinggi berbanding kelahiran bayi songsang melalui pembedahan caesarean. Kematian anak dalam kelahiran songsang melalui vagina adalah lebih kerap, iaitu 1 dalam setiap 300 kelahiran, berbanding kematian bayi songsang yang dilahirkan melalui pembedahan caesarean (1 dalam 2000). Oleh itu, apabila doktor mencadangkan kelahiran melalui pembedahan (tidak semua bayi songsang perlu melalui pembedahan caesarean), bermakna mereka mengenal pasti risiko bagi seseorang ibu dan bayi sebaik-baiknya.

Kesimpulannya, perubatan moden bertujuan mengurangkan risiko sebegini, bukannya berniat menyusahkan ibu-ibu. Golongan ibu yang terpaksa menghadapi kesusahan sewaktu bersalin di hospital, perlu berkongsi kemudahan dengan pesakit lain, faham benar semua ini dilakukan semata-mata demi keselamatan bayi mereka.

Jadi, ibu yang sedang menimbang sama ada melahirkan di rumah atau di hospital, sila fikirkan pilihan anda dengan teliti. Niat mahu melahirkan di rumah semata-mata bagi menikmati suasana di rumah – sebagaimana yang saya baca dalam kebanyakan blog dan forum – seharusnya difikirkan semula dengan soalan: “Kepentingan siapakah yang anda utamakan, anda atau bayi anda?”

PROF MADYA DR RAFIDAH HANIM MOKHTAR
Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Sumber: Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts