Tunai ibadah zakat secara konsisten

KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyeru umat Islam melaksanakan zakat pendapatan melalui Skim Potongan Zakat Bulanan (PZB) bagi memastikan ibadah wajib itu dapat dilaksanakan secara konsisten.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Hakim Amir Osman berkata, melalui potongan tersebut, ia membolehkan umat Islam yang layak membayar zakat melaksanakan ibadah itu dengan lebih mudah di samping mendapat manfaat dari segi rebat cukai pendapatan, khairat kematian dan sebagainya.

“Kelebihan PZB ini, ia membantu para pembayar zakat menguruskan perbelanjaan tunai dengan lebih terancang tanpa membebankan mereka untuk membuat pembayaran sekali gus apabila tiba hujung tahun.

“PZB juga boleh diselaraskan dengan rebat cukai pendapatan selain dilindungi Skim Kafalah Muzakki (khairat kematian) dan Skim Wakalah (pengembalian semula wang zakat untuk diagihkan kepada asnaf),” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Tambah Abdul Hakim, umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan perlu memahami kepentingan menunaikan zakat yang merupakan rukun Islam ketiga di samping menjadi elemen utama dalam pembangunan ummah.

Malah, tuntutan zakat itu difardukan oleh Allah SWT yang mana terdapat 38 ayat di dalam al-Quran menceritakan perihal zakat dengan solat.

Selain itu katanya, zakat juga terbahagi kepada dua bahagian iaitu zakat fitrah dan zakat harta yang wajib disempurnakan oleh umat Islam yang sudah mencapai syarat wajib zakat iaitu cukup haul dan nisab.

Abdul Hakim menunjukkan risalah Kempen Jom Potong Skim PZB bagi menggalakkan umat Islam menunaikan zakat secara potongan gaji melalui PPZ-MAIWP.

Dalam pada itu, Abdul Hakim turut memaklumkan bahawa PPZ-MAIWP telah melancarkan Kempen Jom Potong Skim PZB yang berlangsung selama enam bulan bermula pada 1 Julai lalu hingga 31 Disember depan.

Selain menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM45 juta sepanjang tempoh kempen tersebut, pihaknya turut memberi tumpuan kepada pembayar zakat baharu dan pembayar sedia ada yang menambah potongan zakat secara potongan gaji.

Malah katanya, para pembayar zakat turut berpeluang memenangi hadiah menarik dalam kempen itu antaranya pakej percutian ke negara Balkan, iPhone, vakum Dyson, Headband Sony, syiling emas dan seterika stim jenama Philips.

“Potongan zakat bulanan itu boleh dibuat secara atas talian melalui laman sesawang, https://ptg.zakat.com.my/ atau mengisi borang di kaunter PPZ-MAIWP atau menerusi majikan masing-masing.

“Ibadah zakat tidak harus dipandang mudah oleh umat Islam kerana ia diagihkan kepada golongan memerlukan.

“Jika dana zakat diperoleh secara konsisten setiap bulan, maka bantuan zakat juga dapat diagihkan secara berterusan kepada lebih 30,000 keluarga asnaf di Wilayah Persekutuan setiap bulan,” ujarnya yang turut menyatakan sebanyak RM469 juta wang zakat telah diagihkan melalui 30 Skim Bantuan Zakat MAIWP sejak Januari hingga Julai tahun ini. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts
Read More

Sedekah secara rahsia

  1. PADA September yang lalu, Pusat Penyelidikan Islam (Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah) dibawah seliaan al-Azhar telah ditanya berkenaan…