home Semasa Tunggu giliran vaksin bukan alasan tinggal solat

Tunggu giliran vaksin bukan alasan tinggal solat

 

Tidak ada kelonggaran atau alasan meninggalkan solat dalam keadaan menunggu giliran untuk menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), walaupun berdepan situasi di luar jangkaan seperti waktu janji temu dilewatkan atau terpaksa beratur panjang kerana jumlah penerima ramai.

Timbalan Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir, berkata setiap umat Islam tetap wajib solat pada waktunya dan disarankan membuat persediaan secukupnya sebelum hadir ke PPV mengikut jadual ditetapkan.

“Bagi waktu pendek seperti Maghrib, tetap perlu pastikan solat ditunaikan.

“Saya sarankan ambil wuduk siap-siap di rumah, bawa sejadah dan solatlah di ruang disediakan,” katanya.

Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman, berkata hukum meninggalkan solat adalah berdosa walaupun dalam situasi menunggu giliran di PPV.

“Solat ini bukan perkara main-main kerana ia membezakan antara orang Islam dengan bukan Islam. Jadi, solat mesti dijaga dan dalam keadaan apa pun, mesti dirikan solat,” katanya.

Beliau berkata, jika sudah dimaklumkan waktu bagi janji temu, sebaiknya usahakan untuk solat dahulu di rumah dan tidak sengaja melengahkan hingga pada hujung waktu.

“Jika sempat, datanglah ke PPV selepas solat atau jika sedang beratur dan khuatir kerana waktu solat seperti Maghrib yang pendek, mohon kepada petugas untuk keluar barisan seketika.

“Tidak bolehlah kata terpaksa tinggal solat atau terpaksa qada kerana sedang tunggu giliran untuk suntikan vaksin,” katanya.

Beliau berkata, kewajipan solat untuk orang awam yang hanya datang untuk divaksin berbeza dengan situasi petugas barisan hadapan.

Mereka perlu bekerja untuk kes kecemasan demi menyelamatkan nyawa pesakit dan ada antaranya perlu memakai pakaian pelindung diri (PPE) dalam jangka panjang.

“Situasi petugas barisan hadapan berbeza, namun mereka juga bekerja dan berehat, termasuk untuk solat secara bergilir.

“Dalam keadaan kritikal sehingga tidak dapat menunaikan solat, mereka boleh lakukan solat jamak.

“Namun, bagi kita, orang awam tidaklah sampai kepada tahap itu dan masih ada cara lain membolehkan solat ditunaikan mengikut waktu,” katanya.

Beliau turut berharap pihak pengurusan di setiap PPV di seluruh negara lebih peka, bukan sahaja menyediakan kemudahan menunaikan ibadat, tetapi memberi kelonggaran untuk umat Islam menunaikan solat seketika dalam tempoh menunggu giliran pengambilan vaksin.

Proses vaksinasi di PPV membabitkan lima stesen, bermula pendaftaran, kemudian setiap individu perlu mengisi borang keizinan sebagai perakuan bersetuju untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.

Di stesen ketiga, mereka akan menerima suntikan dan perlu melalui stesen verifikasi bagi mendapatkan tarikh janji temu dos kedua.

Di stesen kelima, penerima vaksin akan dipantau bertujuan melihat sama ada terdapat kesan sampingan selepas divaksinasi sebelum dibenarkan pulang.

Semua PPV di seluruh negara turut menyediakan kemudahan bagi pengguna, termasuk surau untuk memudahkan orang awam menunaikan solat, laluan khas bagi orang kurang upaya (OKU) dan warga emas serta kerusi roda. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *