UAI gesa tindakan keras, hak maafkan bukan pada manusia

BANGI – Penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus (UAI) menggesa tindakan lebih keras dikenakan ke atas kedai serbaneka yang didapati menjual stoking tertera kalimah Allah.

Beliau berkata, permohonan maaf sahaja tidak mencukupi kerana itu melibatkan penghinaan kepada Allah SWT.

Malah, katanya, manusia tidak layak untuk memberikan kemaafan kerana itu sama sekali bukan haknya, tetapi hak Allah SWT.

“Mana maaf. Itu hak Allah, bukan hak kita. Lainlah kalau orang ambil hak kita, boleh kita tukang maaf (yang memaafkan). Ada pula awak tukang maaf? Awak siapa? Faham tak lagi?

“Orang hina Allah, kita pula tukang maaf? Boleh ke kita wakil? Awak wakil Allah ke? Kena ambil hukuman. Faham? Pihak berkuasa kena hukum,” tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan tegas perlu dikenakan kepada peniaga tersebut tanpa sebarang pengecualian.

“Tak boleh orang lain tolong halalkan. Tak boleh. Kena keras. Kena sikap tegas. Kena ajar,” tegasnya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar meminta umat Islam di negara ini bertenang dan memberi kepercayaan kepada pihak berkuasa menyiasat isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di rangkaian kedai serbaneka KK Mart.

Beliau berkata, pihak polis, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca, pihak yang bertanggungjawab selain niat di sebalik perbuatan itu.

Terdahulu, pengurusan tertinggi kedai KK Mart tampil membuat permohonan maaf dan menyatakan kesal dengan insiden penjualan stoking yang tertera tulisan kalimah Allah di salah sebuah cawangannya di Bandar Sunway seperti mana tular di media sosial.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart, Datuk Seri Dr KK Chai berkata, sepanjang tempoh 23 tahun mengusahakan perniagaan terbabit, tidak pernah pihaknya melakukan kesilapan seumpama itu.

Katanya, insiden yang berlaku ini bukan saja menjejaskan perniagaannya, malah mengganggu emosinya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts