Ujian bagi orang yang berilmu

Nabi Musa AS pernah ditanya kaumnya iaitu Bani Israel ketika baginda AS sedang berkhutbah, siapakah dalam kalangan manusia yg paling bijaksana. Nabi Musa AS menjawab bagindalah orang yang paling bijaksana.

Lalu Allah menegur Nabi Musa AS bahawa ada lagi hamba Allah yang lebih bijaksana daripada baginda AS. Kisah ini diceritakan sendiri oleh Rasulullah SAW :

“Pada suatu hari Nabi Musa AS bangun berdiri untuk berkhutbah di hadapan kaum bani Israel, lalu dia ditanya: “Siapakah orang yang paling bijaksana?” Nabi Musa menjawab: “Aku.” Maka Allah SWT menegurnya kerana tidak kembalikan pemilik ilmu kepada-Nya. Lalu Allah SWT mewahyukan kepadanya: “Ada seorang hamba di antara hamba-Ku yang tinggal di pertemuan antara dua lautan lebih pandai darimu.” (HR Bukhari)

Perkara sama yang ditekankan oleh Nabi Khidir AS saat bersama dengan Nabi Musa AS :

“Ketika Nabi Musa dan Nabi Khidir duduk di dalam perahu, ada burung hinggap di tepi perahu dan minum sekali atau dua kali patukan ke laut. Maka Nabi Khidhir berkata kepada Nabi Musa: “Jika ilmuku dan ilmumu dibandingkan dengan ilmu Allah, maka ilmu kita itu tidak lain hanyalah seperti air yang diambil oleh burung itu dengan paruhnya dari laut.” (Hadis Bukhari)

Nasihat ini diberikan kepada Nabi Musa AS agar baginda AS merendah diri dengan ilmu yang ia miliki.

Nabi Khidir AS seorang yang tidak dikenali sehingga Allah yang memberitahu Nabi Musa AS perihalnya, beliau juga tiada pengaruh tetapi tercatat di dalam hadis Nabi SAW bahawa Allah mengangkat kedudukan ilmu Nabi Khidir AS lebih tinggi daripada Nabi Musa AS.

Panduan daripada Kisah Musa dan Khidir

Dua ayat daripada surah al-Kahfi mengenai kisah Nabi Musa AS dan Nabi Khidir AS memberi panduan kepada kita tentang ilmu.

Allah berfirman:

فَوَجَدَا عَبۡدࣰا مِّنۡ عِبَادِنَاۤ ءَاتَیۡنَـٰهُ رَحۡمَةࣰ مِّنۡ عِندِنَا وَعَلَّمۡنَـٰهُ مِن لَّدُنَّا عِلۡمࣰا

“Lalu mereka dapati seorang daripada hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami.” (Al-Kahfi: 65)

Ayat ini mengaitkan rahmat Allah dengan ilmu. Ya, pemberian ilmu ke atas seseorang itu merupakan rahmat daripada Allah semata-mata.

Kata Dr Solah Khalidi di dalam ‘Kisah-kisah Umat Terdahulu di dalam Al-Qur’an’, hampir semua kisah di dalam surah Al-Kahfi mengandungi perkataan rahmat Allah, contoh lain seperti kisah kepimpinan Zulqarnain dan kisah pemuda yang menyelamatkan imannya.

Justeru, kesemua kelebihan di atas seperti kepimpinan yang hebat, keselamatan iman serta ilmu pengetahuan yang tinggi adalah merupakan pemberian rahmat Allah semata-mata ke atas hamba-hambaNya.

Allah juga berfirman:

قَالَ لَهُۥ مُوسَىٰ هَلۡ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰۤ أَن تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمۡتَ رُشداً

“Nabi Musa berkata kepadanya: Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?(Al-Kahfi: 66)

Pandangan Ibnu Kathir, rushdan membawa maksud ilmu yang bermanfaat dan perbuatan yang baik.

Ilmu yang bermanfaat pula adalah ilmu yang membawa kepada kebaikan dan menjauhkan seseorang daripada keburukan menurut pandangan Syeikh as-Sa’di.

Jika dilihat kembali dalam kisah pemuda al-Kahfi yang cuba menyelamatkan iman mereka, tercatat doa mereka di dalam Al-Qur’an:

فَقَالُوا۟ رَبَّنَاۤ ءَاتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحۡمَةࣰ وَهَیِّئۡ لَنَا مِنۡ أَمۡرِنَا رَشَداً

“Lalu mereka berdoa: Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan permudahkan kami untuk mendapat petunjuk-Mu dalam urusan (agama) kami.” (Al-Kahfi: 10)

Rusydan di sini difahami sebagai ilmu yang berkaitan dengan urusan agama yang memberi petunjuk kepada seseorang dalam membezakan antara hak dan batil.

Ayat di atas juga mempunyai gabungan di antara rahmah dan rushdan (petunjuk). Justeru, setiap ilmu yang bermanfaat dan memberi petunjuk dalam urusan agama datangnya daripada rahmat Allah.

Hakikat Ilmu

Ilmu itu bukanlah dengan banyak menukilkan kata-kata ulama’ atau banyak berhujah tetapi ilmu itu mendatangkan rasa takut kepada Allah. Allah SWT berfirman:

 إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ

“Sesungguhnya di antara hamba-hamba Allah yang takut kepada-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu, sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Pengampun.” (Al-Fathir: 28)

Melalui ayat ini, Ibnu Kathir di dalam tafsirnya menukilkan kata-kata daripada Ibnu Mas’ud: “Bukanlah ilmu itu dengan banyak berkata-kata atau berhujah, tetapi ilmu itu membawa takut kepada Allah.” [Tafsir Ibn Kathir]

Begitu juga kata-kata Malik bin Anas, Ibnu Jauzi di dalam bukunya menjelaskan: “Bukanlah ilmu itu dengan banyak riwayat (menukil kata-kata ulama’), tetapi ilmu itu adalah cahaya yang dicampakkan ke dalam hatidengannya ia dapat mengetahui kebenaran serta dapat membezakan yang batil.” [Kelebihan Ilmu Salaf ke Atas Ilmu Khalaf]

Orang yang berilmu juga tidak akan berasa bangga terhadap dirinya dan tidak akan terpesona dengan kelebihan yang ia miliki.

Diriwayatkan bahawa Ibnu Mas’ud pernah mengatakan : “Cukuplah menunjukkan seseorang itu berilmu apabila perasaan takut kepada Allah menguasainya, dan cukuplah menunjukkan seseorang itu jahil apabila dia terpesona dengan dirinya sendiri”, manakala ada yang mengatakan: “…cukuplah apabila seseorang itu ujub (berasa bangga) pada dirinya menunjukkan dia seorang yang jahil.” [Tafsir as-Suyuthi]

Penyakit ujub dan bangga diri boleh membawa kepada sifat sombong sekiranya tidak diubati. Sifat sombong inilah yang menyebabkan manusia sukar menerima pandangan orang lain tanpa meneliti hujah mereka terlebih dahulu.

Inilah yang terjadi pada zaman ini, banyak berlaku perdebatan yang tidak sihat, sering memandang rendah kepada ilmuan lain dan hanya berasa dirinya sahaja yang benar. Akhirnya kebenaran tidak dapat dilihat dan dakwah tidak berkesan kerana sikap dan akhlak para ilmuan.

Belajarlah daripada ulama yang sering merendah diri seperti Ahmad Ibnu Hanbal. Diceritakan di dalam buku Siyar A’lam an-Nubala’ bahawa Yahya Ibnu Ma’in tidak pernah melihat beliau bangga terhadap kebaikan dirinya walaupun telah bersahabat selama 50 tahun.

Begitu juga sifat tawaduk Imam Bukhari, anak muridnya Imam Tirmizi berkata bahawa Imam Bukhari pernah memberitahu kepadanya: “Sesungguhnya manusia akan mengambil manfaat daripada engkau lebih banyak daripada diriku.” [Ibnu Hajar, Tahzib at-Tahzib]

Kesimpulan

Itulah ujian bagi orang yang berilmu. Ilmu itu boleh menjadi fitnah bagi dirinya. Lalu sematkanlah di dalam dada firman Allah di dalam surah Yusuf, ayat 76 :

وَفَوْقَ كُلِّ ذِى عِلْمٍ عَلِيمٌ

“Dan di atas setiap orang berilmu terdapat orang yang lebih tinggi ilmunya, hingga berakhir ilmu sampai kepada Allah Yang Maha Mengetahui segala hal yg ghaib.”(Tafsir al-Muyassar)

Begitu juga yang terdapat di hujung surah al-Kahfi, Allah berfirman mengenai keluasan ilmu-Nya pada ayat 109 :

قُل لَّوْ كَانَ الْبَحْرُ مِدَادًا لِّكَلِمَاتِ رَبِّي لَنَفِدَ الْبَحْرُ قَبْلَ أَن تَنفَدَ كَلِمَاتُ رَبِّي وَلَوْ جِئْنَا بِمِثْلِهِ مَدَدًا

“Katakanlah (Muhammad): Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-Kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-Kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya.”

Syeikh as-Sa’di di dalam tafsirnya mengatakan kalimah di dalam ayat ini membawa maksud semua sifat Allah yang tiada penghujungnya, termasuklah ilmu pengetahuan-Nya.

Justeru, orang berilmu perlu sedar bahawa ilmu Allah itu luas dan sumbernya datang daripada Allah semata-semata. Maka ikutlah resmi padi, semakin berisi semakin tunduk, semakin berilmu semakin tawaduk (merendah diri).

Cara pandang kita juga perlu diubah bahawa ukuran orang berilmu dinilai melalui iman dan taqwa, bukan hebat ilmunya, pengaruh dan namanya semata-mata.

Wallahua’lam.

Semoga tulisan ini memberi manfaat dan semoga Allah mengampuni dan merahmati kita semua.


Ustaz Luqman Afifi bin Sabri
Sarjana Muda Syariah, Universiti Yarmouk Jordan

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts