Ukhuwah Islamiah benteng tepis agenda negatif musuh Islam – Sulaiman

Melaka: Ukhuwah Islamiah mampu menjadi benteng ampuh bagi menepis agenda negatif musuh Islam yang mahu menghancurkan perpaduan dalam kalangan Muslim.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkata umat Islam juga dilarang membisu dan hanya berdiam diri tanpa berbuat apa-apa apabila maksiat berlaku atas alasan memelihara perpaduan.

Beliau berkata, menegakkan kebenaran dan membasmi maksiat dan keburukan adalah tugas yang wajib bagi umat Islam.

“Mutakhir ini, kita melihat bahawa bibit-bibit perpecahan mula menular dalam kalangan umat Islam disebabkan faktor hilangnya kepercayaan dan apabila amanah dikhianati.

“Tambah menyedihkan apabila umat Islam pada hari ini saling menuding jari antara satu sama lain,” katanya berucap pada Majlis Perhimpunan dan Perarakan Sambutan Maulidur Rasul 1444H/2022M peringkat Melaka di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit, di sini kelmarin.

Sulaiman berkata, jalinan persaudaraan serta gabungan padu daripada semua pihak mampu menjulang tinggi syiar Islam dan menjadikan umatnya sebagai masyarakat bertamadun yang berkualiti.

Terdahulu, hujan renyai-renyai tidak mematahkan semangat lebih 5,000 peserta daripada 118 kontinjen menyertai perarakan dari Stadium Tun Fatimah ke Pusat Islam Melaka melalui Jalan Taman Bandaraya-Jalan Bukit Piatu-Jalan Bukit Baru, sejauh kira-kira dua kilometer.

Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam diiringi Sulaiman; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari dan barisan EXCO turut berselawat dan berarak bersama peserta.

Sambutan Maulidur Rasul tahun ini bertemakan “Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran”. – BERNAMA

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts