Ulama pejuang kemerdekaan, bukannya komunis: Mufti Perak

 

IPOH – Kerajaan wajib menolak cadangan pihak tertentu yang mahu kajian semula dilakukan terhadap buku teks sejarah bagi mengiktiraf sumbangan pengganas komunis dalam mencapai kemerdekaan negara.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, pengiktirafan terhadap komunis secara tidak langsung akan menafikan sumbangan dan pengorbanan ulama, rakyat, perajurit dan pahlawan negara yang mempertahankan tanah air.

Menurutnya, tidak perlu untuk memperkenalkan komunis kepada generasi akan datang sebaliknya memperkenalkan sumbangan alim ulama dan pejuang kemerdekaan untuk memupuk nilai kesetiaan kepada raja dan negara yang merupakan salah satu rukun negara.

Katanya, komunis tidak memberi apa-apa sumbangan dalam kemerdekaan negara malah menyebabkan negara diisytiharkan darurat selama 12 tahun mulai 1948 hingga 1960.

“Negara terhutang budi kepada alim ulama kerana sumbangan mereka begitu besar dalam menggerakkan semangat patriotik rakyat bagi mencapai kemerdekaan negara.

“Ulama menentang komunis kerana mempertahankan akidah umat Islam dan menghalang komunis daripada menjajah tanah air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

Menurut Harussani, komunis adalah fahaman yang bertentangan dengan Islam kerana menolak kewujudan kekuasaan Allah dan Islam tidak pernah iktiraf sumbangan atau memberi kerjasama kepada komunis.

Beliau berkata, tujuan komunis datang ke Tanah Melayu ialah untuk mengambil pentadbiran negara daripada penjajah British seterusnya menjajah Tanah Melayu sama seperti Portugis, British dan Jepun.

Katanya, komunis menangkap dan membunuh ulama yang memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu daripada British dan membunuh ramai penduduk termasuk orang tua, wanita dan kanak-kanak.

“Mengiktiraf sumbangan komunis secara tidak langsung akan menggalakkan dan mempromosikan kezaliman dan fahaman ekstrem dalam kalangan rakyat.

“Pelajar perlu disemai dengan nilai-nilai murni yang holistik bukannya mendedahkan mereka kepada keganasan dan kezaliman komunis. Rakyat juga perlu mengelakkan diri daripada pemikiran dan fahaman komunis,” katanya. – Utusan

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts