Umat Islam perlu bersatu desak perundangan syariah dimartabatkan

Bangi – Sudah tiba masanya umat Islam bersatu memberikan isyarat kepada penggubal dasar negara supaya mengangkat martabat undang-undang syariah di Malaysia.

Gesaan itu disuarakan Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Muhammad Shahier Sa’min yang bimbang terhadap nasib perundangan syariah negara susulan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid.

Beliau berkata, situasi akan datang mungkin lebih membahayakan sekiranya enakmen syariah di negeri-negeri lain juga menerima nasib sama dan turut dicabar keabsahannya.

“Semua kita maklum yang negara kita bergerak dengan dwi-sistem perundangan. Menjadi hasrat semua umat Islam untuk martabat undang-undang dan mahkamah syariah dinaik taraf.

“Malangnya keadaan tidak menyebelahi kita. Sistem perundangan syariah yang tersisa kini semakin rakus dimamah golongan tidak bertanggungjawab,” katanya kepada Ismaweb.net hari ini.

Menurut Shahier, umat Islam perlu mendesak supaya perundangan syariah kekal terjamin dan tidak dihadkan bidang kuasanya hanya untuk perkara-perkara asas semata.

“Malu rasanya jika kita muslim tetapi tidak melaksanakan perintah Allah SWT sebaiknya.

“Lebih malu rasanya jika Islam adalah agama Persekutuan, tetapi mahkamah syariah hanya boleh membicarakan kes-kes nika cerai dan faraid,” katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8-1 memutuskan sedemikian selepas membenarkan petisyen Nik Elin dan anaknya Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman selaku pempetisyen bagi mencabar peruntukan enakmen itu.

Dengan keputusan itu, Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak lagi mempunyai bidang kuasa menggubal 16 peruntukan undang-undang yang dipertikaikan itu.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts