Utamakan jemaah musim 2020, 2021 tunaikan haji

Kuala Lumpur: Bakal jemaah haji yang tidak dapat menunaikan ibadah itu pada 2020 dan tahun ini akan diberikan keutamaan pada musim haji akan datang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, keutamaan itu diberikan memandangkan mereka tidak dapat menunaikan Rukun Islam kelima pada musim sepatutnya berikutan pandemik Covid-19, selain kuota terhad yang diberikan kerajaan Arab Saudi.

Menurutnya, semua bakal haji itu akan diberi peluang yang tertakluk kepada kekosongan.

“Lembaga Tabung Haji (TH) sudah memulakan perancangan untuk musim haji tahun depan dengan pemilihan bakal haji yang tertakluk kepada kuota rasmi dan kriteria lain yang ditetapkan Arab Saudi pada masa akan datang.

“TH juga akan mengadakan penilaian pasca ibadah haji tahun ini untuk memahami lebih mendalam prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan yang dilaksanakan Arab Saudi, selain menganjurkan Muzakarah Haji peringkat kebangsaan untuk seragamkan hukum haji dalam suasana wabak.

“Kursus untuk bakal haji juga akan dilaksanakan secara dalam talian dan perancangan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pemeriksaan kesihatan dan vaksinasi bakal haji berasaskan peraturan ditetapkan Kementerian Kesihatan Arab Saudi,” katanya dalam Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan dikemukakan Rubiah Wang (GPS- Kota Samarahan) yang ingin tahu mengenai persediaan terkini kerajaan untuk urusan rakyat Malaysia menunaikan fardu haji dan umrah di Makkah selepas hampir dua tahun negara tidak berpeluang menghantar jemaah ekoran pandemik Covid-19.

Menjawab soalan tambahan, Ahmad Marzuk berkata, kos mengerjakan umrah dan haji berkemungkinan akan meningkat susulan pelbagai SOP dan cukai diperkenalkan Arab Saudi.

“TH sedang menyemak secara terperinci kos yang terkesan dengan pengenalan cukai baharu oleh kerajaan Arab Saudi termasuk caj visa haji dan kenaikan kadar cukai tambahan daripada lima peratus kepada 15 peratus bermula Julai 2020.

“Kos juga dijangka meningkat disebabkan kadar inflasi dan perkembangan terkini peraturan khususnya berkaitan SOP termasuk ujian PCR (saringan Covid-19) serta penjarakan fizikal di dalam bas, bilik penginapan dan khemah ketika menunaikan haji,” katanya. – My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts