Umat Islam tak boleh terjebak tarik duit ghaib

KOTA BHARU – Umat Islam tidak boleh terlibat langsung dengan kegiatan tarik duit secara ghaib kerana perbuatan itu berdosa besar.

Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insaniah, Universiti Malaysia Kelantan, Prof Madya Dr Azhar Muhammad berkata, perkara-perkara tidak jelas dan meragukan seperti proses tarik duit yang ada unsur mistik serta syubhah perlu dijauhi oleh umat Islam.

“Para Muslimin tidak boleh turut serta sama sekali kerana perbuatan yang berunsur sihir ini jelas hukumnya berdosa besar.

“Sebab itu, perlu elakkan diri kerana prosedur dan interaksi antara dua pihak itu juga tidak jelas selain pulangan berganda yang tidak logik,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Sebelum ini, Sinar Harian mendedahkan seorang pesara terpedaya dengan pengamal perubatan tradisional dari negara seberang yang mendakwa mampu menarik duit dari alam ghaib.

Warga emas berusia 62 tahun itu kononnya dikatakan berjaya memperoleh RM150,000 dan diminta membayar RM1,500 lagi bagi urusan penghantaran wang namun tidak meneruskan perbuatannya kerana bimbang ditipu.

Menurut Azhar yang juga Penasihat Rumah Ngaji Kelantan, orang ramai dinasihatkan berhati-hati dengan pihak yang menggunakan agama untuk tujuan menarik perhatian umum.

“Masyarakat awam perlu selidik terlebih dahulu dan rujuk kepada pihak atau sumber sahih. Tak wajar untuk mencuba perkara sebegini.

“Masalah sudah lama berlaku dan kewujudan media sosial memudahkan lagi golongan ini untuk membuat promosi dan sebagainya,” katanya.

Pada tahun 2018, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pernah mendedahkan perkara sama sekumpulan penarik duit yang dikesan aktif mengumpan mangsa menerusi Facebook dengan mendakwa mampu menarik duit dari alam ghaib.

Mereka juga meyakinkan orang ramai mempunyai ‘bantuan’ dari alam ghaib untuk menolong orang dalam kesusahan dan perlu memasukkan wang upah untuk melicinkan upacara berkenaan – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts