Ummah serah memorandum kepada PM tuntut keadilan Muhammad Adib

 

KUALA LUMPUR – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) akan menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri menuntut keadilan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24.

Pengerusi UMMAH, Haji Aminuddin Yahaya berkata, memorandum itu akan diserahkan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad selepas solat Jumaat di Masjid Putrajaya.

Beliau berkata, pihaknya kesal kerana mereka yang bertanggungjawab atas kematian Muhammad Adib masih bebas, malah sehingga kini tiada kedengaran dakwaan dikenakan ke atas mereka.

Justeru, UMMAH menggesa pihak polis menyiasat dengan segera dan membawa pembunuh anggota bomba berkenaan ke muka pengadilan.

Malah, Aminuddin turut menggesa Peguam Negara, Tommy Thomas mendakwa pihak yang bertanggungjawab atas kematian anggota bomba itu tanpa memilih kasih, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada masa sama Aminuddin berkata, UMMAH mendesak menteri yang menjaga portfolio perpaduan, P Waytha Moorthy, Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran dan Exco Selangor, V Ganabatirau ditangkap kerana membuat kenyataan yang melaga-lagakan dua komuniti agama.

Aminuddin berkata, mereka perlu disiasat dan didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan dibaca bersama Seksyen 3(1)(e) iaitu mengembangkan perasaan niat jahat, permusuhan dan kebencian antara kaum.

“Mereka juga perlu didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas pejawat awam,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Dalam pada itu, UMMAH turut menuntut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan Menteri Kesihatan, Datuk Dzulkefly Ahmad memohon maaf tanpa pengecualian atas cubaan meremehkan kejadian dan memperbodohkan rakyat berhubung kematian Adib.

“Hari ini setelah Adib tiada, masih ada lagi menteri-menteri seperti Datuk Salahuddin Ayub dan Datuk Dzulkefly Ahmad cuba meremehkan sentimen rakyat menuntut keadilan bagi pihak Allahyarham, dengan meminta rakyat agar bertenang berikutan kematian anggota bomba itu,” katanya.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) jam 9.41 malam tadi, selepas bertarung nyawa selama 22 hari, akibat kecederaan parah di badan setelah dipukul perusuh kuil itu.

Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tebengau, Kuala Kedah, selepas solat Zohor, semalam.

Pada 27 November lalu, Muhammad Adib diserang perusuh di kuil berkenaan tanpa mempedulikan Allahyarham ketika itu adalah seorang penjawat awam yang sedang melakukan tugas membantu orang ramai.

Dalam kejadian itu, Muhammad Adib dilaporkan ditarik perusuh di kawasan kuil ketika pasukannya berundur dari lokasi rusuhan dan dipukul tanpa belas kasihan, sehingga cedera parah.

Polis sebelum ini menangkap empat lelaki disyaki terbabit menyerang Muhammad Adib, tetapi Mahkamah Majestret kemudian membebaskan mereka dengan ikat jamin polis dan bon mahkamah.

Kes itu mulanya disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh, tetapi kini diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kerana membunuh. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts