Ungkapan keramat pemimpin

 

INGIN jadi pemimpin hebat yang dihormati dan disegani ramai? Jadikan 3 rangkap kata ini zikir harian anda apabila berinteraksi dan berhubung dengan orang di sekeliling anda:

1. Saya Tidak Tahu

Mungkin anda terkejut bukan? Takkan pemimpin hebat sebut kata-kata sebegini? Saya ingin bertanya anda kembali, kenapa tidak?

Kualiti terpenting yang perlu ada dalam diri seorang pemimpin ialah keikhlasan. Ya, kepentingannya jauh melebihi kepentingan kemahiran dan kredibiliti.

Hanya pemimpin yang ikhlas dan rendah hati sahaja mampu mengucapkan kata-kata ‘Saya tidak tahu’ dalam urusan yang tidak dikuasainya. Malah, inilah solusi terbaik dan bukannya berselindung atau berlakon tahu semua perkara. Apatah lagi menipu untuk menutup kelemahan diri.

Hakikatnya tidak ada manusia yang tahu semua perkara di dunia ini. Perkara yang kita tahu pun, pastinya tidak mencakupi dan terlalu rinci isinya.

Ada kalanya kita keliru dengan pelbagai pengetahuan yang bersarang di kepala. Terkadang juga kita dijangkiti penyakit lupa. Mengaku sahajalah, mana ada manusia yang Allah s.w.t ciptakan sempurna!

Oleh itu, jangan malu untuk mengaku anda tidak tahu.

Ada ulama’ mengatakan perkataan ‘Allah s.w.t lebih mengetahui’ adalah separuh dari keseluruhan ilmu di dunia ini.

Berterus-terang dengan kekurangan ilmu dan kemahiran bukan satu kelemahan, tapi ketinggian akhlak dan reputasi!

2. Ceritalah Lagi

Ketika orang lain cenderung dan suka untuk bercerita tentang diri sendiri, pemimpin sebaliknya menjadi pendengar yang setia untuk memahami orang lain sebaik mungkin.

Pemimpin yang hebat sentiasa terbuka dan bersedia menerima sebarang maklumbalas dan komen. Mereka tidak menjawab soalan dengan jawapan yang bernada mempertahankan diri (defensive) sahaja. Atau berdebat untuk jadi juara. Apatah lagi memotong bicara orang yang sedang bertanya.

Sebaliknya, mereka menjawab soalan dengan kalimah, ‘Ceritalah lagi’, ‘Boleh tuan/puan perincikan lagi isunya?’ atau ‘Beritahu saya lebih…’, kerana sesungguhnya mereka benar-benar ingin tahu dengan lebih lanjut, ikhlas mahu menyelami persoalan dan isu yang cuba dibangkitkan, meletakkan kepentingan serta emosi diri ke tepi, yang penting kegusaran dan kerisauan orang lain mampu disejukkan.

Pendekatan ini pasti menyebabkan anda mudah didekati, selesa didampingi dan sering menjadi tempat rujukan dan aduan rakan-rakan yang lain.

3. Kenapa Begitu?

Satu lagi ungkapan keramat bagi pemimpin yang disayangi semua ialah ‘kenapa begitu?’

Kata-kata ini kaya dengan sifat kesabaran, keprihatinan dan kebersamaan.

Secara psikologinya manusia sukakan orang yang tidak mendesak (penyabar), mengambil berat tentang diri mereka (prihatin) serta banyak persamaan dengan dirinya (serupa).

Lihatlah bagaimana satu kalimah ini mampu memberikan 3 persepsi yang luar biasa dan seterusnya memudahkan anda diterima dan disukai oleh semua orang.

Persoalan ‘Kenapa begitu?’ juga turut menyentak minda untuk mencari makna, sebab dan motivasi dalaman diri. Ia meneroka sebab musabab, faktor usaha-natijah serta merintis pemikiran kritis dan analitikal untuk menyelesaikan masalah.

Kajian menunjukkan perbualan yang menyentuh motif dan misi akan lebih menguatkan hubungan dan reputasi berbanding perbualan biasa yang hanya berkisar tentang isu teknikal yang ringkas dan remeh, tanpa diselaputi emosi.

Ir. Hj. Muhammad Lukman Al Hakim Bin Muhammad
Ketua Biro Latihan Kepimpinan ISMA

Sumber: http://www.ismaweb.net/2017/10/ungkapan-keramat-pemimpin/

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts