Usia sahabat ketika memeluk Islam

 

1. CERITAKAN pada anak-anak kita bahawa kebanyakan sahabat Nabi memeluk Islam ketika usia muda. Mereka dikurniakan hidayah pada zaman belia dan remaja. Fenomena ini menjelaskan kepada kita akan keutamaan mendidik generasi muda tentang Islam kerana mereka yang akan membimbing negara ini kelak.

2. Menurut al-Imam Ibn Hajar, Saidina Abu Bakar dilahirkan 2 tahun 6 bulan selepas tahun gajah. Andai Rasulullah dilahirkan pada Tahun Gajah, ini bererti, usia Abu Bakar muda 2 tahun 6 bulan daripada Rasulullah. Dalam erti kata yang lain, ketika memeluk Islam, usia beliau sekitar 37 tahun. (Ibn Hajar, al-Isabah; Fath al-Bari)

3. Menurut al-Imam al-Sayuti, Saidina Umar ibn al-Khattab pula lahir 13 tahun setelah daripada Tahun Gajah. Ini bererti, ketika Rasulullah pertama kali menerima wahyu, umur Umar sekitar 27 tahun. Menurut Ibn Ishaq, beliau memeluk Islam pada tahun kelima atau keenam kenabian iaitu sekitar usianya 32/33 tahun. (a-Sayuti, Tarikh al-Khulafa; Ibn Ishaq, Sirah Nabawiyyah)

4. Saidina Uthman pula dikatakan muda enam tahun dari Rasulullah. Menurut al-Imam Ibn Kathir, Saidina Uthman memeluk Islam pada tahun Nabi diangkat menjadi Rasul ketika usianya 34 tahun. Beliau menerima Islam melalui dakwah Abu Bakar. Abu Bakarlah yang berdakwah kepada Uthman sehingga beliau memeluk Islam. (Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah)

5. Perbahasan mengenai tarikh kelahiran Saidina Ali mengalami sedikit kesukaran disebabkan kebanjiran sumber termasuklah dari syiah. Sumber yang popular menyatakan Ali lahir 28 atau 30 tahun selepas tahun gajah. Ini bererti beliau berusia sekitar 8 atau 10 tahun ketika Rasulullah diangkat menjadi Rasul. Dan menurut Ibn Kathir, sekitar usia 8 atau 10 tahun inilah Saidina Ali memeluk Islam. (Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah)

6. Menurut al-Imam al-Zahabi, Saidina al-Zubair ibn al-Awwam memeluk Islam ketika berusia 16 tahun. Beliau digelar sebagai Hawari Rasulullah (pembantu agama ini) serta orang yang pertama menghunuskan pedang di jalan Allah. (al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala)

 

 

7. Secara umumnya, tahun kelahiran Talhah ibn Ubaidillah tidak disebutkan secara spesifik oleh penulis Sirah. Namun berdasarkan perkiraan Ibn al-Mubarrad tentang tarikh kematian Talhah serta tempoh usianya, umur Talhah dianggarkan sekitar 26 tahun ketika Rasulullah diangkat menjadi Nabi. (Ibn al-Mubarrad)

Menurut Ibn Ishaq, Talhah adalah diantara 8 orang sahabat yang terawal memeluk Islam. Beliau digelar sebagai “Syahid Yang Hidup” kerana keteguhan mempertahankan Rasulullah di saat genting dalam Perang Uhud.

8. Saidina Abu Ubaidah al-Jarrah pula dilahirkan sekitar tahun 583/584 masihi iaitu 40 tahun sebelum Hijrah. Ini bererti beliau berumur sekitar 26/27 tahun ketika Rasulullah diangkat menjadi Nabi.

Menurut Ibn Hisham, beliau adalah di antara yang terawal memeluk Islam dikalangan lapan orang yang pertama. Rasulullah memberikan beliau gelaran Amin al-Ummah iaitu orang kepercayaan ummah ini (pemegang kunci amanah, orang paling amanah).

9. Menurut al-Imam Ibn Abd al-Barr, Saidina Sa’d ibn Abu Waqas memeluk Islam ketika berusia 19 tahun. Ibn al-Mubarrad pula menghitungnya sebagai dikalangan 7 sahabat yang terawal memeluk Islam. Beliau terkenal sebagai sahabat yang pernah melepaskan anak panah (tentera pemanah) dalam sejarah Islam.

10. Saidina Abdul Rahman ibn Auf pula memeluk Islam ketika berusia 30 tahun. Beliau dilahirkan sepuluh tahun selepas Tahun Gajah, bererti beliau berusaha 10 tahun lebih muda dari Rasulullah. Menurut Ibn Ishaq, beliau antara 8 orang sahabat yang terawal memeluk Islam. Terkenal dengan kehebatannya dalam perniagaan.

11. Saidina Said ibn Zaid adalah termasuk dalam kalangan 10 sahabat yang dijanjikan syurga. Biarpun beliau tidak popular seperti yang lain, beliau adalah di antara yang terawal memeluk Islam. Menurut Ibn al-Mubarrad, Said berusia sekitar 13 tahun sewaktu keislamannya. Said dan isterinya (Fatimah al-Khattab, adik Saidina Umar) dikatakan diantara punca Saidina Umar memeluk Islam.

12. Perhatikan bagaimana 10 sahabat yang dijanjikan syurga ini semuanya memeluk Islam dalam usia yang muda. Tumpukan usaha dakwah kepada anak-anak muda serta dedahkan mereka dengan bimbingan Islam. Jangan sampai pemikiran sesat seperti Liberal meresapi dan merosakkan pemikiran anak-anak muda yang bakal menjadi pemimpin masa depan negara.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts