Vaksin Covid-19: Hukum syarak boleh diharuskan jika darurat

 

MELAKA – Perkara yang ditegah dalam hukum syarak menjadi keharusan apabila sesuatu perkara ditafsir berada dalam keadaan darurat.

Mufti negeri, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, penggunaan vaksin mencegah pandemik koronavirus (Covid-19) menjadi harus kepada umat Islam untuk digunakan sekiranya penawar itu mengandungi kandungan bahan-bahan meragukan.

Bagaimanapun menurutnya, sebarang vaksin yang sedang diusahakan penyelidik adalah sebaiknya dijalankan kajian ataupun penyelidikan kandungan vaksin tersebut terlebih dahulu oleh kerajaan mahupun pihak berkaitan sebelum sampai ke tangan pengguna.

Katanya, langkah itu dapat meyakinkan masyarakat bagi memastikan vaksin pandemik itu menepati piawaian syariah dan tiada unsur syubhah, tiada elemen gelatin babi, enzim dan sebagainya dan lebih penting selamat digunakan.

“Kalau dibuat kajian nanti ada unsur syubhah, maka akan dibawa dari sudut muzakarah fatwa sama ada harus atau tidak penggunaannya.

“Dalam Islam ada konsep perluasan hukum syarak iaitu apabila dalam darurat dan tiada pilihan maka perkara yang ditegah akan menjadi harus,” katanya.

Abdul Halim berkata demikian kepada pemberita selepas program Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim) Peduli Musaadah Negeri Melaka yang Yang disempurnakan Dipertua Yadim, Nasrudin Hassan di Pusat Islam Majlis Agama Islam (MAIM) di Bukit Baru, di sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, penggunaan vaksin Covid-19 akan diperhalusi dalam Muzakarah Fatwa Kebangsaan akan datang dengan mengambil kira semua aspek termasuk soal maqasid syariah selain memastikannya tidak memudaratkan tubuh badan untuk jangka masa panjang.

Menurutnya, keharusan dalam hukum syarak itu tidak hanya setakat Covid-19 tetapi banyak elemen dalam perubatan menggunakan vaksin yang mengandungi perkara syubhah atau kandungan meragukan.

“Jika memang sukar untuk mendapatkan ubat lain maka kita akan melihat kaedah dalam hukum syarak yang mengharuskan penggunaannya. Apa pun kita berdoa penyelidik dan ahli farmasi khasnya terdiri daripada umat Islam berlumba-lumba dan berjaya membuat kajian dan penyelidikan untuk mendapatkan vaksin kerana kita perlu berpegang kepada janji Nabi Muhammad (SAW) bahawa setiap penyakit ada ubat,” katanya. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts