Wajib pertahankan tulisan jawi

 

PERTUTURAN dan penulisan adalah kombinasi lengkap bagi sesebuah bahasa. Ia membolehkan sesuatu bahasa itu dikomunikasi daripada satu pihak kepada pihak lain.

Bahasa pertuturan memastikan komunikasi berlaku dengan baik di mana mesej daripada pihak penyampai dapat disampaikan secara langsung kepada penerima manakala bahasa penulisan pula membolehkan mesej dan makna dapat direkodkan secara bercatat dan disampaikan melangkaui masa, zaman dan lokasi. Paling penting ia mampu difahami.

Berkaitan dengan isu tulisan jawi, semua rakyat Malaysia dari sebelum merdeka hingga kini mengakui bahawa tulisan itu adalah bahasa penulisan bagi Bahasa Melayu. Ia dipercayai telah digunakan hampir 1,000 tahun.

Sejarah pula telah mencatatkan bahawa tulisan jawi telah digunakan secara rasmi oleh Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu semasa zaman penjajahan British. Banyak dokumen penting kerajaan dicatatkan dengan tulisan jawi antaranya Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor.

Sebuah batu bersurat telah dijumpai di Kuala Terengganu yang dipercayai telah wujud semenjak 1303 Masihi lagi (2020 – 1303 = 717 tahun). Ia telah ditulis dalam Bahasa Melayu dan bertulisan jawi. Bukti sejarah itu adalah petanda kukuh bahawa tulisan jawi dan Bahasa Melayu sentiasa berkait.

Melupakan pembuktian itu adalah satu penafian naif yang tidak hanya membodohkan diri sebaliknya mengehadkan potensi bangsa dan negara untuk meneladani silam demi menjadi lebih baik dan lebih maju pada masa akan datang.

Kita mungkin tidak sedar bahawa dokumen penting pengisytiharan kemerdekaan yang dibaca dan ditandatangani oleh Bapa Kemerdekaan Malaysia iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj adalah ditulis dengan tulisan jawi. Ini membuktikan bahawa tulisan itu adalah amat penting dalam sejarah dan juga dalam mengasaskan negara ini sendiri. Mana mungkin ia mampu dipadamkan dan dilupai.

 

 

Tulisan jawi mesti dipertahankan serta disebar luas penggunaannya kerana ia adalah berperlembagaan. Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 152 (1) berkaitan bahasa kebangsaan menyatakan bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen.

KelebihanDi dalam Seksyen 9, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 menyatakan bahawa rumi adalah tulisan bagi bahasa kebangsaan namun bersyarat bahawa ia tidak menghalang penggunaan tulisan Melayu (disebut sebagai tulisan jawi).

Gabungan kedua-dua peruntukan berkanun itu menjelaskan bahawa tulisan jawi adalah bahasa kebangsaan. Memperlekehkan serta mempersendakannya boleh dikira sebagai menghina dan menghasut segala peruntukan khas yang telah disebut dalam Akta Hasutan 1948 dan Perkara 152, 153 serta 181 Perlembagaan Persekutuan.

Hujah-hujah berfakta jelas menunjukkan bahawa tulisan jawi mempunyai merit yang kuat untuk semua pihak bernama rakyat Malaysia tidak kira agama, bangsa mahupun warna kulit untuk bersama mempertahankannya.

Menguasai tulisan jawi bukan bermaksud telah didakwah untuk diIslamkan tetapi ia adalah satu kelebihan dan identiti khusus rakyat Malaysia yang unik dan berpotensi tinggi untuk lebih maju ke hadapan.

Suara sumbang sebilangan minoriti dalam menguji keabsahan status tulisan jawi serta rintangan dan halangan yang cuba dibentuk bagi usaha memartabatkan tulisan itu adalah amat tidak bertanggungjawab. Ia seolah-olah tidak pernah mempelajari sejarah negara dan tidak mengenal jati diri sebagai rakyat Malaysia.

Kesetiaan dan ketaatan golongan ini kepada raja dan negara adalah diragui. Mereka mampu untuk menjadi duri dalam daging dan gunting dalam lipatan serta amat berbahaya kepada kedaulatan negara sekiranya yang sikit tidak dibaiki dan yang sakit tidak dirawati. Pihak kerajaan perlu lebih ikhlas dalam bertindak dan lebih tegas dalam mencegah. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts