Wala’ dan pelantikan bukan Islam sebagai pemimpin

 

APAKAH ayat-ayat Allah berkaitan larangan wala’* kepada bukan Islam tidak terpakai ke atas bukan Islam yang tidak anti-Islam? Adakah ayat 8-9 Surah Al-Mumtahanah memberi isyarat harus melantik bukan Islam yang tidak anti-Islam sebagai pemimpin?

Apakah boleh diqiyaskan jawatan guru besar sekolah dengan ahli parlimen di Malaysia?

+ + +

Jawapan:

1) Tidak dinafikan bahawa umat Islam memang boleh berbuat baik dan berlaku adil dengan orang bukan Islam yang tidak memusuhi Islam (berdasarkan Surah al-Mumtahanah ayat 8-9).

2) Namun ia tidak sesekali menafikan larangan memberikan wala’ kepada orang bukan Islam atau menjadikan mereka sebagai pemimpin (seperti mana yang termaktub dalam Surah Ali Imran ayat 28, An-Nisa’ ayat 138-139, At-Taubah ayat 71 dan Al-Mumtahanah ayat 1).

Ini kerana, wala’ hanya berhak diberikan kepada Allah, Rasulullah dan orang-orang beriman. (Abu Zahrah, Fatawa Al-Syeikh Muhammad Abu Zahrah, himpunan dan tahqiq Dr. Muhammad Uthman Syibir, Dar Al-Qalam, Beirut, m/s 725-726)

3) Fuqaha’ dan mufassirin tidak pernah mentafsirkan ayat 8-9 Surah al-Mumtahah dengan mengharuskan melantik orang bukan Islam sebagai pemimpin negara. Kerana ayat tersebut HANYA mengharuskan membuat BAIK dan berlaku ADIL kepada orang bukan Islam yang tidak memusuhi/memerangi Islam. (`Ali Al-Sais, Tafsir Ayat al-Ahkam, Al-Maktabah al-`Asriyyah, Beirut, m/s 756-757; Syed Qutb, Fi Zilal Al-Quran jil. 2, m/s 910)

Bahkan menurut al-Hafiz ibnu Hajar, membuat baik dengan orang bukan Islam tidak bermaksud boleh berkasih sayang dan saling mencintai dengan mereka yang memang telah dilarang. (Ibnu Hajar, Fath al-Bari, jil. 5, m/s 233)

4) Fuqaha membezakan kepimpinan negara di bawah pemimpin tertinggi/ketua negara kepada dua kategori:
a. wizarah tafwidh atau wilayah `ammah; dan
b. wizarah tanfiz atau wilayah khassah

Wizarah tafwidh/wilayah `ammah merupakan jawatan kepimpinan yang mendapat autoriti secara langsung daripada ketua/pemimpin tertinggi negara. Mereka terlibat secara langsung dalam penggubalan polisi utama negara serta menentukan hala taju negara, bertunjangkan prinsip Syarak.

Manakala wizarah tanfiz/wilayah khassah hanyalah jawatan kepimpinan yang bersifat eksekutif atau pelaksana dasar pimpinan tertinggi. (Lihat: Al-Mawardi, Al-Ahkam al-Sultaniyyah, Dar al-Hadith, Kaherah, m/s 56)

5) Dalam hal ini, fuqaha bersepakat bahawa jawatan wizarah tafwidh/wilayah `ammah HANYA boleh disandang oleh ORANG ISLAM. Khilaf yang berlaku hanyalah pada jawatan wizarah tanfiz/wilayah khassah. Imam Al-Mawardi memberi sedikit kelonggaran bahawa orang bukan Islam juga boleh dilantik bagi jawatan wizarah tanfiz (walaupun ia tidak dipersetujui oleh Al-Juwayni dan dibidas dengan panjang lebar), kerana jawatan wizarah tanfiz tidak mempunyai kuasa menentukan dasar utama sebuah negara.

6) Persoalannya, adakah ahli parlimen dalam konteks Malaysia boleh dipukul rata semuanya sebagai ‘wizarah tanfiz’, justeru dengan mudahnya boleh di’fatwa’kan harus mengundi/melantik orang bukan Islam (yang tidak anti-Islam) bagi jawatan tersebut?

7) Pendapat saya, tidak semudah itu untuk mengharuskannya. Perlukan penilaian yang teliti dengan syarat-syarat yang amat ketat. Kerana ahli parlimen dalam sistem politik di Malaysia turut mempunyai kuasa tertentu dalam menentukan/meluluskan suatu dasar, polisi, akta atau undang-undang.

Pindaan Akta 355 untuk memperkasakan Mahkamah Syariah sebagai contoh, ia perlu mendapatkan sokongan majoriti ahli Parlimen (Dewan Rakyat) untuk dijayakan. Tidakkah kita kecewa melihat reaksi ahli-ahli Parlimen bukan Islam berkenaan isu ini? Maka apakah sekarang ini kita terus bermudah-mudah menyerahkan nasib survival umat Islam dan agama Islam kepada mereka yang bukan Islam (yang kononnya tidak memusuhi Islam)? Ini belum cerita sebahagian ahli Parlimen yang beragama Islam sendiri yang membantah cadangan pindaan RUU 355 tempoh hari.

8) Ya benar, situasi dan sistem politik zaman ini sudah lain daripada zaman Nabi dan Khalifah dahulu kala. Tiada lagi istilah wizarah tafwidh mahupun tanfiz. Tapi adakah perbezaan situasi dan geopolitik ini telah mengubah tujuan atau maqasid utama siyasah dalam Islam? Apakah tidak perlu lagi usaha-usaha memartabatkan Syarak? Tidak perlu lagi melaksanakan Syariah? Tidak perlu lagi menyahut seruan jihad membebaskan negara-negara di seluruh dunia dari segala cengkaman asing?

9) Perlu diingat juga bahawa perbahasan fuqaha dalam isu pelantikan orang bukan Islam di atas adalah dalam konteks sebuah negara Islam (dawlah/khilafah Islamiyyah). Hari ini, dalam keadaan umat Islam yang lemah dan ketinggalan dalam segenap aspek, adakah kita yakin nasib dan masa depan Islam ini akan dijamin oleh pemimpin-pemimpin bukan Islam?

10) Kaedah Syarak menyebut:

ما لا يدرك كله، لا يترك جُلّه
“Apa yang tidak dapat dicapai/dilaksanakan semuanya, jangan ditinggalkan semuanya”

Berdasarkan kaedah ini, walaupun suasana dan sistem hari ini tidak lagi sama dengan dahulu di mana kita tidak dapat melaksanakan perintah Syarak semuanya atas banyak kekangan, namun janganlah sampai kita tinggal terus semuanya dan terus berlonggar-longgar dengan hukum hakam Syarak dengan melepaskan jawatan kepimpinan negara ini kepada bukan Islam begitu sahaja.

11) Sekurang-sekurangnya berusahalah mencapai ke arah memartabatkan Islam, dengan melaksanakan apa yang termampu. Dalam isu pemilihan pemimpin, maka sepatutnya yang dilakukan pada hari ini ialah melipatgandakan lagi usaha mengangkat orang Islam yang berwibawa sebagai ahli parlimen. Bukan terus menyerah kalah lalu dengan mengharuskan umat Islam melantik orang bukan Islam sebagai pemimpin tanpa hujah yang konkrit, tanpa meletakkan syarat-syarat yang ketat yang telah digariskan fuqaha.

Moga Allah beri hidayah kepada kita semua. Dan beri kekuatan kepada Umat Islam untuk memimpin negara ini dengan sebaiknya.

Wallah A’lam.

* Wala’ bermaksud pertolongan, kasih Sayang, penghormatan, memuliakan, mencintai (Ruj: Syeikh Dr. Muhammad Sa’id Al-Qahthoni, Al-Wala’ wa al-Bara’ fi Al-Islam; Syeikh Fathi Al-Duraini, Khasa’is al-Tasyri` fi al-Siyasah wa al-Hukm)

Ustaz Ahmad bin Khairuddin

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts