BANGI, 22 RABIULAKHIR – Israel enggan membebaskan dua orang doktor Palestin, termasuk pakar kanak-kanak terkenal, Dr Hussam Abu Safiya, yang juga merupakan Pengarah Hospital Kamal Adwan di utara Gaza, dalam perjanjian gencatan senjata terbaharu bersama Hamas.
Menurut seorang pegawai Hamas, Tel Aviv menolak permintaan pembebasan Dr Abu Safiya, manakala Dr Marwan Al Hams, Pengarah hospital lapangan di Gaza, juga tidak akan dibebaskan.
Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan bahawa Dr Al Hams telah ditahan oleh Israel sejak Julai lalu.
Sementara itu, Dr Hussam Abu Safiya ditangkap pada 27 Disember 2024 apabila tentera Israel menyerbu Hospital Kamal Adwan, mengacukan senjata dan memaksanya keluar dari premis tersebut sebelum hospital berkenaan dimusnahkan dan tidak lagi beroperasi.
Sejak penahanannya, beliau dikurung di bawah undang-undang zalim Israel yang membolehkan penahanan tanpa perbicaraan berdasarkan “bukti rahsia.”
Dr Abu Safiya dikenali sebagai tokoh penting dalam sistem kesihatan Gaza kerana tetap berkhidmat dalam keadaan amat berbahaya. Beliau menolak arahan tentera Israel untuk berundur dan terus merawat orang awam yang cedera walaupun ketika serangan udara semakin hebat.
Pasukan peguamnya melaporkan bahawa beliau tidak pernah dihadapkan ke mahkamah sejak Mac lalu dan kini ditahan dalam keadaan amat teruk termasuk penderaan fizikal, kekurangan rawatan perubatan, serta dikurung bersendirian dalam tempoh lama.
Walaupun terdapat desakan antarabangsa agar beliau dibebaskan kerana kesihatan yang semakin merosot dan peranan pentingnya dalam sistem perubatan Gaza, pihak Israel tetap meneruskan penahanan tersebut.
Rakaman video selepas serbuan menunjukkan beliau masih mengenakan jubah putih doktor, berjalan di antara runtuhan menuju ke arah kereta kebal Israel.
Tentera Israel mendakwa bahawa Dr Abu Safiya ditahan sebagai suspek dan sedang disiasat atas dakwaan terlibat dalam aktiviti pengganas.
Pada September lalu, Physicians for Human Rights (PHR) melaporkan bahawa seorang peguam mereka telah melawat Dr Abu Safiya di Penjara Ofer, barat Ramallah, dan mendokumentasikan keadaan tahanannya.
Menurut laporan PHR, beliau kehilangan hampir 25 kilogram berat badan, menghidap penyakit kulit kudis yang tidak dirawat dengan baik, dan kesihatannya semakin merosot dengan ketara.
Beliau juga tidak dimaklumkan sebarang pertuduhan rasmi terhadapnya.
PHR turut menjelaskan bahawa Dr Abu Safiya dilayan dengan buruk dan dinafikan pemeriksaan kesihatan, meskipun beliau mempunyai sejarah penyakit jantung dan tekanan darah tinggi.
Keadaan dalam penjara juga amat menyedihkan — makanan tidak mencukupi, pakaian kotor, dan serangan berulang dilakukan oleh pengawal penjara.
Ketua Bahagian Tahanan PHR, Naji Abbas, menggesa Israel agar membebaskan Dr Abu Safiya dan semua petugas kesihatan yang ditahan, menyifatkan tindakan Israel sebagai jenayah moral dan undang-undang.
Pada Februari lalu, media Israel menyiarkan rakaman video Dr Abu Safiya dalam tahanan, dengan tangan dan kaki bergari serta kelihatan sangat lemah.
Sepanjang perang berlangsung, beliau turut kehilangan ahli keluarga iaitu anak lelakinya, Ibrahim, terbunuh ketika tentera Israel menyerbu Hospital Kamal Adwan pada 26 Oktober 2024.
Sebulan kemudian, Dr Abu Safiya sendiri cedera akibat serangan udara ke atas hospital yang sama, namun tetap enggan meninggalkan pesakit dan terus menjalankan tanggungjawabnya.
Akhirnya, beliau ditangkap pada 27 Disember 2024, ketika tentera Israel sekali lagi menyerbu hospital tersebut.
Sumber: TRT World
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam