Lebih 230,000 wanita dan kanak-kanak perempuan di Gaza, termasuk hampir 15,000 wanita hamil, kini berdepan kekangan serius dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan reproduktif susulan operasi ketenteraan Zionis di wilayah berkenaan.
Jurucakap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Stephane Dujarric, memetik laporan Tabung Penduduk PBB (UNFPA) yang memberi amaran mengenai peningkatan risiko keganasan berasaskan jantina, perkahwinan paksa serta eksploitasi terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan.
Menurut beliau, kemusnahan fasiliti kesihatan, ruang selamat dan klinik, ditambah dengan perpindahan penduduk secara besar-besaran serta kejadian banjir, telah mengehadkan secara drastik akses kepada sokongan psikososial dan rawatan perubatan.
Dalam perkembangan berkaitan, rakan kemanusiaan PBB telah menyalurkan bantuan kepada lebih 13,000 isi rumah sejak Ahad lalu, termasuk pengagihan ratusan khemah, tilam, selimut, pakaian musim sejuk, peralatan memasak dan lampu solar.
Namun begitu, kekangan dari segi kapasiti dan pembiayaan menyebabkan bantuan hanya mampu disalurkan kepada kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan 970 tapak penempatan pelarian di Gaza.
Perang genosid Zionis ke atas Gaza yang berlarutan hampir dua tahun setakat ini telah meragut lebih 71,000 nyawa rakyat Palestin serta mencederakan lebih 171,000 orang, dengan majoritinya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak. Konflik berkenaan turut memusnahkan hampir 90 peratus infrastruktur awam di Gaza.
Sumber:
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam








