Wanita perlu fokus didik anak ke arah pembangunan jati diri

13051581_979797142097867_3206481635932523812_n

SHAH ALAM, Selasa – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman mencadangkan agar semua wanita bergelar ibu memfokuskan pendidikan anak-anak ke arah aspek pembangunan sahsiah dan jati diri.

“Saya mencadangkan agar wanita di negara ini fokus pada aspek pembangunan sahsiah dan jati diri anak-anak berbanding hanya tertumpu pada soal akhlak dan halam haram sesuatu perkara,” katanya ketika memberi ucapan perasmian di Persidangan Wanita Islam Antarabangsa (PERWANIS) 2016 di sini hari ini.

Menurut beliau, rumah tangga itu adalah institusi pertama kepada anak-anak dalam pendidikan awal mereka sebelum melangkah ke alam pendidikan yang sebenar.

Malah, beliau turut menyeru ibu bapa untuk sentiasa mengawasi tingkah laku anak-anak dengan memberi kefahaman terhadap kesan baik dan buruk bagi setiap keputusan yang diambil oleh mereka.

“Kawal dan awasi tingkah laku anak-anak kita tetapi jangan sampai kita mengongkong kehidupan mereka, kita hanya perlu memberi penerangan terhadap kebaikan dan keburukan untuk setiap keputusan yang diambil oleh mereka,” jelasnya.

Hal ini katanya, adalah bagi melahirkan umat yang dapat mengangkat nilai taufik dan memartabatkan Islam sebagai agama yang suci.

Mengulas mengenai cabaran yang dihadapi oleh wanita muslimah di negara ini, beliau berkata, fahaman feminisme yang banyak mempengaruhi kehidupan wanita pada hari ini.

“Kehidupan hari ini didirikan berasaskan kesamaan jantina yang menyeluruh, tiada lagi ruang perbezaan, malah wanita juga menceburi semua bidang yang diceburi oleh lelaki,” katanya.

Justeru, tiada lagi pembahagian peranan berasaskan fungsi semula jadi, tuntutan agama dan fitrah.

Katanya lagi, hal ini sekaligus mengheret wanita ke arah kehidupan sosial yang tiada batas sempadan.

“Hari ini, sewaktu di rumah, wanita tidak semestinya melakukan kerja rumah bersama ahli keluarga, dan kita dapat lihat pada hari ini berapa banyak kes cerai yang telah direkodkan kerana wanita tenggelam dalam hubungan sosial,” jelasnya.

Maka, katanya untuk mempertahankan kenyataan wanita sebagai pemangkin generasi masa kini, memerlukan ikrar yang luhur dan penegasan konkrit daripada wanita itu sendiri.

“Wanita perlu bijak membidas fahaman feminisme dan menghindarkan diri daripada tenggelam dalam dunia maya serta tegas dengan komitmen utamanya dalam hal ehwal rumah tangga,” katanya.

Sumber: http://www.ismaweb.net/2016/04/wanita-perlu-fokus-didik-anak-ke-arah-pembangunan-jati-diri-presiden-isma/

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts