Waqaf: Definisi, konsep dan kepentingannya

 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW hingga hari kesudahan.

Wakaf merupakan satu daripada amalan sedekah yang sangat dituntut oleh Islam. Sepertimana juga amalan sedekah yang lain, amalan ini telah dijanjikan dengan ganjaran yang amat besar oleh Allah SWT kepada pewakafnya. Ganjaran ini berterusan mengalir kepada pewakafnya meskipun setelah meninggal dunia selagi mana harta yang diwakafkan itu dimanfaatkan oleh orang ramai.

Wakaf tidak hanya tertumpu setakat keagamaan sahaja, malah ianya meliputi pembangunan prasarana dan perkhidmatan awam. Memandangkan wakaf mempunyai potensi yang luas, kerajaan menubuhkan Jabatan Wakaf, Haji dan Zakat (JAWHAR) di bawah Jabatan Perdana Menteri pada 2004 untuk memajukan wakaf di negara ini. Kemudian pada 2008, Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) ditubuhkan untuk melaksanakan pembangunan wakaf.

Kerajaan akan mewujudkan Pelan Induk Wakaf Nasional (PIWN) dalam memastikan pengurusan wakaf yang lebih cekap di negara ini dan dapat memaksimumkan mobilisasi aset wakaf pada masa hadapan. Justeru, Bayan Linnas pada kali ini kami telah memilih tajuk WAQAF DEFINISI, KONSEP DAN KEPENTINGANNYA. Semoga perbincangan ini memberikan kefahaman mengenai konsep wakaf dan kepentingan ummah untuk memahami konsep wakaf dengan lebih luas lagi seiring dengan peredaran zaman serta kemajuan. Seterusnya dapat menyuntik semangat dalam diri umat Islam agar memulakan serta mempraktikkan amalan wakaf ini demi kepentingan Islam dan kesejahteraan ummah.

DEFINISI WAKAF

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan wakaf merujuk kepada sesuatu yang diberikan untuk kegunaan orang ramai atau sesuatu yang diuntukkan bagi keperluan yang berkaitan dengan agama Islam. Sebagai contoh, tanah wakaf ialah tanah yang diuntukkan bagi keperluan agama seperti untuk perkuburan, mendirikan masjid, dan lain-lain.

Dalam Bahasa arab pula, wakaf berasal dari pada perkataan waqf bererti berdiri atau berhenti. (Rujuk: Lisan al-Arab, 9/359) Perkataan lain yang sama erti dengan perkataan wakaf ialah al-Habs yang bermaksud berhenti atau menahan. (Rujuk: al-Takrifat al-Fiqhiyyah, 239) Kebanyakan ulama fiqh mentakrifkan wakaf dari segi bahasa dengan perkataan al-Habs kerana perkataan ini lebih hampir kepada pengertian syarak.

Dari sudut Istilah pula, para ulama telah mengemukakan beberapa pentakrifan tentang wakaf seperti berikut:

  • Ibn Hajar al-Haitami menyebut takrif wakaf dalam konteks syariah sebagai: “Menahan harta yang boleh dimanfaatkan selama bendanya masih baik dengan cara memutuskan hak kepemilikan atas harta tersebut, dan dialihkan untuk kepentingan-kepentingan (awam) yang diharuskan.”

(Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 6/235)

  • Ibnu Qudamah mendefinisikan wakaf sebagai: “Menahan pokok (zat harta) dan menyedekahkah buah (hasil)”

(Rujuk: Al-Mughni, 12/175)

  • Wahbah al-Zuhayli menyebut, “Wakaf ialah menahan harta benda daripada pemilikan untuk individu tertentu dan diuruskan manfaat (harta itu) untuk pihak yang telah diwakafkan ke atasnya (Mauquf Alaihi)”.

(Rujuk: Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 6/4553)

Berdasarkan pengertian fuqaha di atas, dapat dirumuskan bahawa wakaf ialah satu amalan dengan menyerahkan sebahagian harta dimiliki untuk dimanfaatkan oleh masyarakat bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ia memutuskan segala bentuk hak dan penguasaan pewakaf (pemberi) ke atas harta yang diwakafkan. Harta yang hendak diwakafkan perlu jelas pemilikannya dan juga perlulah memberi manfaat dan faedah. Begitu juga harta tersebut perlulah bersifat kekal fizikalnya.

DALIL PENSYARIATAN WAKAF DARI AL-QURAN DAN AL-SUNNAH

Wakaf merupakan amalan sedekah yang digalakkan oleh Islam terhadap umatnya yang berkemampuan agar kesenangan yang dikurniakan itu dapat dinikmati oleh golongan kurang berkemampuan.

Perkara ini berdasarkan firman Allah SWT:

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّـهَ بِهِ عَلِيمٌ

Maksudnya: Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.

(Surah Ali Imran: 92)

Menurut Imam al-Baidawi ketika menafsirkan ayat di atas, menyatakan bahawa seseorang itu tidak akan dapat mencapai hakikat sesebuah kebaikan iaitu kesempurnaan bagi kebaikan atau tidak akan mencapai kebaikan Allah SWT iaitu Rahmat-Nya, keredaan-Nya dan syurga sehinggalah seseorang itu menginfakkan sesuatu yang disayanginya daripada harta-hartanya.

(Rujuk: Tafsir al-Baidawi, 2/28)

Selain itu, Imam al-Khatib al-Syarbini juga menyatakan mengenai ayat ini bahawa sesungguhnya Abu Talhah ketika mendengar ayat ini, beliau suka (ingin) mewakafkan (kebun) Bairuha’ yang merupakan harta yang paling disayanginya.

(Rujuk: Mughni al-Muhtaj ila Makrifah Maani Alfaz al-Minhaj, 3/522)

Terdapat juga sebuah hadis Nabi SAW menceritakan tentang wakaf saidina Umar RA yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar RA:

‏أَصَابَ ‏ ‏عُمَرُ ‏ ‏أَرْضًا ‏ ‏بِخَيْبَرَ ,‏ ‏فَأَتَى النَّبِيَّ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏يَسْتَأْمِرُهُ ‏ ‏فِيهَا, فَقالَ  : يَا رَسُولَ اللَّهِ , إِنِّي ‏ ‏أَصَبْتُ ‏ ‏أَرْضًا ‏ ‏بِخَيْبَرَ ‏ ‏لَمْ ‏ ‏أُصِبْ ‏ ‏مَالاً قَطُّ هُوَ ‏ ‏أَنْفَسُ ‏ ‏عِنْدِي مِنْهُ, فَقَالَ : ‏ ‏إِنْ شِئْتَ ‏ ‏حَبَسْتَو‏أَنَّهُ لاَ يُبَاعُ أَصْلُهَا, وَلاَ ‏ ‏يُبْتَاعُ ‏ ‏وَلاَ يُورَثُ وَلاَ يُوهَبُ قَالَ فَتَصَدَّقَ ‏ ‏عُمَرُ ‏ ‏فِي الْفُقَرَاءِ وَفِي الْقُرْبَى وَفِي الرِّقَابِ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ ‏ ‏وَابْنِ السَّبِيلِ ‏ ‏وَالضَّيْفِ لاَ ‏ ‏جُنَاحَ ‏ ‏عَلَى مَنْ ‏ ‏وَلِيَهَا ‏ ‏أَنْ يَأْكُلَ مِنْهَا بِالْمَعْرُوفِ أَوْ يُطْعِمَ صَدِيقًا غَيْرَ ‏ ‏مُتَمَوِّلٍ ‏ مَالاً

Maksudnya: Umar telah mendapat sebidang tanah di Khaibar kemudian dia datang menghadap Nabi S.A.W untuk meminta pendapat berkenaan cara menguruskannya, katanya: Wahai Rasulullah! Saya telah mendapat sebidang tanah di Khaibar.  Saya belum pernah memperolehi harta yang lebih baik daripada ini. Baginda bersabda: Jika kamu suka, tahanlah tanah itu (wakafkanlah tanah itu) dan kamu sedekahkan manfaatnya. Lalu Umar mengeluarkan sedekah dari hasil tanah itu dengan syarat tanahnya tidak boleh dijual dan dibeli serta diwarisi atau dihadiahkan. Umar mengeluarkan sedekah hasilnya kepada fakir miskin, kaum kerabat dan untuk memerdekakan hamba juga untuk orang yang berjihad di jalan Allah serta untuk bekal orang yang sedang dalam perjalanan dan menjadi hidangan untuk tetamu. Orang yang mengurusnya boleh makan sebahagian hasilnya dengan cara yang baik dan boleh memberi makan kepada temannya dengan sekadarnya.

Riwayat Muslim

Imam Nawawi dalam menjelaskan hadis ini menyatakan hadis ini merupakan dalil yang membenarkan amalan wakaf dan amalan ini berlawanan dengan (amalan) tercela masyarakat jahiliyah. Terkandung dalam hadis ini juga mengenai fadilat (kelebihan) amalan berwakaf yang mana kedudukannya sebagai sedekah jariah dan juga fadhilat (kelebihan) menafkahkan sesuatu yang disayangi.

(Rujuk: Al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim ibn al-Hajjaj, 11/86)

RUKUN-RUKUN WAKAF

Terdapat empat rukun wakaf yang menjadi asas kepada perlaksanaan wakaf ini iaitu:

  • Al-wakif iaitu pihak yang mewakafkan harta sama ada individu ataupun organisasi.
  • Al-mauquf iaitu harta yang diwakafkan sama ada harta alih atau harta tidak alih.
  • Al-mauquf ‘alaih iaitu pihak yang diwakafkan kepadanya harta atau pihak yang menerima manfaat wakaf tersebut.
  • Sighah iaitu lafaz yang digunakan oleh pewakaf bagi mewakafkan harta tersebut.

Apabila lengkap dan sempurna keempat-empat rukun di atas berserta syarat-syaratnya, maka wakaf tersebut adalah sah dan diperakukan oleh syarak.

KEPENTINGAN DAN MANFAAT WAKAF KEPADA UMAT ISLAM

Ibadah wakaf ini telah diamalkan oleh Rasululullah SAW dan para sahabat sejak sekian lama setelah ia disyariatkan.

Diriwayatkan bahawa apabila Abu Talhah mendengar sahaja ayat 92 dari surah Aali Imran (rujuk ayat sebelum ini) maka beliau segera untuk mewakafkan harta yang paling disayanginya iaitu kebun Bairuha’. Kata beliau kepada Rasulullah SAW:

إِنَّ رَبَّنَا لَيَسْأَلُنَا مِنْ أَمْوَالِنَا فَأُشْهِدُكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنِّي جَعَلْتُ أَرْضِي لِلَّهِ

Maksudnya: Sesungguhnya Tuhan kita meminta untuk kita mengeluarkan infak daripada harta kita, maka aku bersaksikan kamu wahai Rasulullah SAW, bahawa aku menjadikan tanah ini milik Allah SWT (untuk diwakafkan). 

Riwayat al-Nasaie (3602)

Sirah Nabi SAW ada menceritakan kisah Saidina Uthman Ibn ‘Affan RA yang mewakafkan telaga yang disebut sebagai bi’r al-ruumah untuk kegunaan umat Islam ketika itu. Telaga tersebut dibeli oleh beliau daripada seorang Yahudi yang menghalang orang ramai dari menggunakannya dan mengenakan harga yang tinggi bagi sesiapa yang ingin mengambil air daripadanya. Tindakan bijak Saidina Uthman merupakan suatu amalan yang memberi manfaat besar kepada umat Islam ketika itu, bahkan ada pendapat menyebut bahawa sebab turun surah al-Fajr, ayat 27-30 selepas berlakunya peristiwa ini. Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyebutkan bahawa:

وَرَوَى الضَّحَّاكُ إِنَّهَا نَزَلَتْ فِي عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ حِينَ وَقَفَ بِئْرَ رُومَةَ

Maksudnya: Al-Dahhak meriwayatkan bahawa ayat ini diturunkan pada Uthman Ibn ‘Affan RA ketika beliau mewakafkan telaga al-ruumah.

(Rujuk: Tafsir al-Qurtubi, 20/ 58)

Selain itu, antara contoh manfaat wakaf pada masa kini yang berjaya memberi sumbangan dan manfaat yang besar kepada umat Islam, khususnya umat Islam di Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur ialah wakaf Ahmad Dawjee Dadabhoy. Sebelum akhir hayat beliau, beliau mewakafkan hampir keseluruhan harta beliau termasuklah tanah milik beliau di Jalan Perak, Kuala Lumpur seluas 1.2 hektar.

MAIWP selaku pemegang amanah hartanah wakaf berkenaan telah membangunkan tanah wakaf tersebut seterusnya menjadi pelopor kepada pembangunan tanah wakaf bagi tujuan komersial di Malaysia. Hasilnya, dengan kerjasama antara MAIWP, Lembaga Tabung Haji (LTH) dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), maka tanah tersebut berjaya dibangunkan. Dalam perkongsian pintar ini, LTH sebagai pemaju menawarkan pembiayaan 100% bagi membangunkan tanah wakaf MAIWP ini dan BIMB sebagai perintis perbankan Islam di Malaysia menjadi penyewa utama. TH Properties pula memainkan peranan sebagai pengurus projek. Berdasarkan struktur pembiayaan “Build-Operate-Transfer”, MAIWP akan mendapat pulangan sebanyak RM56.6 juta sepanjang tanah tersebut dipajakkan kepada LTH iaitu selama 25 tahun.

Sumbangan dan manfaat daripada wakaf ini begitu besar terhadap umat Islam di Malaysia dan sehingga hari ini ia masih dapat dirasai dan dinikmati dalam mengukuhkan ekonomi umat Islam di negara ini. Oleh yang demikian, dapat dilihat bagaimana harta yang diwakafkan mampu menyumbangkan sesuatu manfaat yang berterusan kepada ummah secara keseluruhannya dan tidak tertumpu kepada golongan tertentu sahaja.

Amalan berwakaf ini jika dapat digembelingkan secara lebih tersusun tentunya akan dapat membangunkan ekonomi umat Islam di negara ini. Memahami kepentingan ini YAB Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin Bin Hj. Mohd. Yassin, Perdana Menteri Malaysia dipetik daripada akhbar Sinar Harian, 13 April 2021, menggalakkan penjawat awam berwakaf, khususnya secara berkala melalui potongan gaji. Oleh yang demikian beliau mahu semua ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan serta agensi di peringkat persekutuan memainkan peranan dalam mengalakkan pegawai dan kakitangan mereka berwakaf. Galakan ini turut sama melibatkan institusi-institusi perbankan dan kewangan Islam bagi membantu mewujudkan pelbagai platform lagi untuk berwakaf. Harapan beliau, dengan adanya peranan institusi-institusi berkaitan wakaf di Malaysia, negara kita boleh menawarkan kepakaran serta model amalan terbaik kepada negara-negara Islam yang lain dalam usaha mengembalikan kegemilangan wakaf.

PENUTUP

Ibadah wakaf ini merupakan salah bentuk amal jariah yang diberikan ganjaran pahala yang berlipat-ganda oleh Allah SWT. Hal ini sepertimana Allah SWT berfirman dalam al-Quran:

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya.

(Surah al-Baqarah: 261)

Selain itu, dalam satu hadis Rasulullah SAW bersabda mengenai amalan wakaf ini diberikan ganjaran pahala yang berterusan meskipun si pewakaf sudah meninggal dunia:

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ: إِلَّا مِنْ ‌صَدَقَةٍ ‌جَارِيَةٍ، ‌أَوْ ‌عِلْمٍ ‌يُنْتَفَعُ ‌بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: Apabila telah mati seorang manusia, maka terputuslah baginya pahala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.

Riwayat Muslim

Sedekah jariah yang disebutkan di dalam hadis di atas merujuk kepada wakaf kerana ia memberi manfaat yang berterusan kepada orang ramai, sedangkan sedekah biasa yang lain kebanyakannya hanya terhad manfaatnya kepada individu tertentu yang menerima sedekah sahaja. Imam al-Khatib al-Syarbini dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj menyebutkan bahawa:

وَالصَّدَقَةُ الْجَارِيَةُ مَحْمُولَةٌ عِنْدَ الْعُلَمَاءِ عَلَى الْوَقْفِ كَمَا قَالَهُ الرَّافِعِيُّ فَإِنَّ غَيْرَهُ مِنْ الصَّدَقَاتِ لَيْسَتْ جَارِيَةً، بَلْ يَمْلِكُ الْمُتَصَدَّقُ عَلَيْهِ أَعْيَانَهَا وَمَنَافِعَهَا نَاجِزًا

Maksudnya: Sedekah jariah yang disebutkan di dalam hadis menurut para ulama ialah merujuk kepada wakaf. Hal ini sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Rafi’e. Ini kerana sedekah selain wakaf bukanlah bersifat jariah (memberi manfaat yang berterusan), bahkan dimiliki oleh orang yang menerima harta dan manfaat sedekah itu sahaja.

(Rujuk: Mughni al-Muhtaj Syarh al-Minhaj, 3/522)

Akhir kalam, semoga dengan sedikit pencerahan mengenai amalan wakaf ini, Allah SWT membuka pintu hati kita agar mula melakukan amalan wakaf yang banyak manfaatnya. Seterusnya dapat menyumbang kepada penjanaan ekonomi ummah dalam skala yang besar. Amin.  – Sumber Muftiwp

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
2
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts