4 tindakan perkasa pendidikan Islam – Zahid

 

KUALA LUMPUR: Program asas persediaan bahasa Arab untuk pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi (IPT) di Asia Barat serta Ujian Kelayakan Bahasa Arab (UKBA) di negara ini antara yang dicadangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pendidikan Agama Islam hari ini bagi memastikan pendidikan Islam memenuhi keperluan arus perdana.

Mesyuarat jawatankuasa tertinggi yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen turut mencadangkan tiga lagi perkara yang akan dibawa ke Kabinet untuk diterima pakai.

Ahmad Zahid berkata, jawatankuasa tertinggi membabitkan Menteri Pendidikan, Menteri Pendidikan Tinggi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut bercadang memperluaskan syarat memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP) serta Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) bagi memberi peluang kepada murid cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) daripada Sekolah Rendah Agama Negeri (SRAN) dan Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) untuk memohon dan belajar di sekolah berkenaan.

Di samping itu, katanya jawatankuasa turut bercadang memberi kelulusan khas kepada pemegang Ijazah Maahad Qiraat al-Azhar, Shoubra Mesir lepasan Maahad Tahfiz al-Quran, Pulai Chondong, Kelantan sebagai ijazah pertama Pengajian Tahfiz mengikut syarat ditetapkan Kementerian Pendidikan.

Jawatankuasa tertinggi itu turut bercadang menyemak semula syarat minimum A- kepada B untuk subjek bahasa Arab di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia sebagai syarat kelayakan untuk pelajar memohon dan memasuki Universiti Awam di Jordan.

“Kerajaan sentiasa mengambil perhatian utama terhadap hala tuju dan masa depan pendidikan Islam di Malaysia bagi memastikan kelangsungannya sentiasa selari dan memenuhi keperluan arus perdana.

“Kerajaan yakin dengan pelaksanaan keputusan ini akan menjadi aspirasi ampuh kepada legasi pendidikan Islam yang gemilang di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts