Menurut laporan media Israel yang memetik kenyataan Kementerian Pertahanan negara itu, penghantaran peralatan kepada pasukan darat tentera Israel diterima di Pelabuhan Haifa, dan ini dikatakan sebagai pertukaran peralatan tentera terbesar dalam sejarah Israel.

Pada November tahun lalu, pentadbiran Biden telah membekukan penjualan jentolak D9 berikutan penggunaan jentera itu oleh tentera Israel untuk merobohkan rumah-rumah di Gaza.
Anggaran terbaru menunjukkan kira-kira 70% struktur bangunan di Gaza telah musnah sepenuhnya atau mengalami kerosakan teruk. Dalam laporan akhbar Haaretz minggu ini, siasatan terhadap pengupahan pemandu jentolak menunjukkan mereka dibayar berdasarkan bangunan yang dimusnahkan: 2,500 shekel untuk bangunan kecil, dan 5,000 shekel untuk bangunan besar.
Profesor Neve Gordon, pakar undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia di Queen Mary University of London berkata:
“Idea bahawa jentolak kini menjadi senjata utama dalam pembunuhan beramai-ramai dan peperangan adalah sesuatu yang baharu. Apa yang berlaku di Gaza bukan sekadar satu dua bangunan yang dirobohkan, tetapi pemusnahan keseluruhan kampung dan bandar.”
Sejak bermulanya pembunuhan beramai-ramai pada 7 Oktober 2023, sebanyak 870 pesawat kargo dan 144 kapal telah menghantar lebih 100,000 tan senjata dan peralatan ketenteraan ke Israel — kebanyakannya dari Amerika Syarikat — menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Israel.
Pentadbiran Biden juga telah mencipta rekod dengan membelanjakan sekurang-kurangnya USD 17.9 bilion (kira-kira RM84 bilion) dalam bentuk bantuan ketenteraan kepada Israel dalam tempoh setahun selepas serangan ke atas Gaza bermula, menurut laporan projek Costs of War oleh Universiti Brown.
Donald Trump pula telah membatalkan beberapa sekatan yang dikenakan oleh pentadbiran sebelumnya terhadap Israel, termasuk menyambung semula penghantaran senjata berat yang sebelum ini dibekukan oleh Biden dan menghapuskan sekatan terhadap peneroka haram Israel di wilayah Palestin.
Sumber : Quds News Network