Perkasa rahmat Islam serta kedaulatan syariah

 

PADA 24 Februari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, mengumumkan kerajaan akan melaksanakan inisiatif untuk mendekati secara proaktif gelandangan dan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Dengan nama Jelajah Rahmah, bukan sahaja bantuan seperti makanan diedarkan malah turut diselangi pengisian agama serta kaunseling. Motifnya agar golongan sasaran dapat meneruskan kehidupan lebih baik dan positif secara kendiri.

Tidak dinafikan ia satu usaha murni dan terpuji di pihak kerajaan khususnya, kerana ia membabitkan aspek keagamaan dan kerohanian serta pendekatan yang bersifat rahmah dalam komuniti itu.

Walaupun program sebegini dijalankan melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN) sebelum ini, kesinambungannya mungkin agak berbeza kerana dikatakan turut menyasarkan golongan LGBT.

Penganjuran program ini juga diperluas ke tempat umum berbanding hanya tertumpu di masjid.

Ia membabitkan kerjasama strategik antara YKN serta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang mengumpul sukarelawan dari pihak masing-masing untuk bersama-sama menjayakannya.

Ia sekali gus mengiktiraf peranan agama dan institusinya untuk membanteras gejala sosial dalam kalangan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama, serta menolak fahaman sekularisme yang kian menular.

Pertikaian secara terbuka

Namun, pendekatan ini harus diseimbangkan dengan keperluan dan tuntutan untuk menguatkuasakan enakmen jenayah syariah di setiap negeri.

Ini bertujuan agar enakmen itu tidak dilihat seperti diabaikan serta tidak didukung kedaulatan dan kuasa undang-undangnya oleh pihak kerajaan.

Malah pendekatan menyeluruh yang tidak seimbang itu boleh mengakibatkan kemerosotan tahap penguatkuasaan serta penghakisan bidang kuasa jabatan agama Islam negeri.

Dikhuatiri lambat laun ia bakal membuka ruang pertikaian dan kritikan yang lebih berleluasa.

Kita sedia maklum terdapat segelintir pihak khususnya pendukung liberalisme dan sekularisme serta pemimpin politik yang acap kali lantang mempertikai secara terbuka enakmen jenayah syariah yang dituduh mendiskriminasi dan menindas golongan LGBT.

Lebih malang, mereka tergamak menuntut agar ia dimansuhkan sama sekali. Antara kesalahan jenayah syariah yang sering mendapat tentangan adalah kesalahan lelaki berpakaian seperti wanita dan musahaqah membabitkan pengamal lesbian.

Undang-undang jenayah persekutuan turut berdepan cabaran seperti Seksyen 377A Kanun Keseksaan bagi kesalahan mengamalkan seks luar tabii dan seks oral. Rentetan tentangan ini dibuat kononnya berdasarkan konsep hak asasi manusia dan kebebasan.

Justeru, tidak hairan apabila pengumuman pihak JAWI dibuat mengenai penguatkuasaan yang digantung pada Hari Kekasih iaitu 14 Februari lalu, mengundang pelbagai reaksi khususnya masyarakat Islam di negara ini.

Lebih-lebih lagi, usaha mencegah kemungkaran itu menjadi sebahagian tuntutan agama.

Antara tarbiah dan penguatkuasaan

Perlembagaan Persekutuan melalui Senarai II Senarai Negeri juga menggalas tanggungjawab terhadap institusi tarbiah dan penguat kuasa agama dalam perihal perbuatan bertentangan ajaran agama, di samping menyampaikan dakwah secara hikmah.

Seharusnya, sifat rahmah Islam diletakkan pada tempatnya bagi mencapai keadilan. Ia juga memastikan kedaulatan undangundang syariah dihormati dan direalisasi pihak berwajib selari tuntutan amar makruf, nahi mungkar.

Oleh itu, wujud enakmen jenayah syariah yang memperuntukkan kuasa mahkamah syariah untuk mensabitkan perempuan yang melakukan jenayah tertentu ke pusat pemulihan, bagi tujuan bimbingan dan pendidikan.

Contohnya, seperti Seksyen 68 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 dan Seksyen 54 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Fakta dan kefahaman ini harus disebar luas bagi menangkis tanggapan negatif serta tuduhan tidak berasas sesetengah pihak bahawa ajaran Islam dan undang-undang syariah yang diamalkan di negara kita bersifat menghukum sematamata.

Semoga inisiatif kerajaan melengkapi nilai dan ajaran Islam yang sedia diamalkan dan termaktub dalam undang-undang mampu memelihara agama, umat Islam dan masyarakat umumnya daripada terjebak ke kancah yang hina.

Ia juga dapat melestarikan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, lantas menjayakan agenda Islam yang membawa rahmat untuk sekalian alam dalam erti kata sebenar.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts