Pada 18 Julai 2025, Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan Yang Amat Arif Dato’ Wan Ahmad Farid bin Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu, menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang menamatkan perkhidmatan pada 2 Julai lalu. Pelantikan ini merupakan keputusan penting dalam sistem kehakiman negara dan dibuat selepas melalui proses perakuan oleh Majlis Raja-Raja. Difahamkan, majlis penyampaian watikah pelantikan serta istiadat mengangkat sumpah jawatan dan sumpah setia dijangka berlangsung pada 28 Julai 2025 di Istana Negara.
Dato’ Wan Ahmad Farid, yang berasal dari Terengganu, mempunyai latar belakang dalam bidang undang-undang dan pernah menyandang beberapa jawatan penting, termasuk sebagai Senator dan Timbalan Menteri Dalam Negeri pada era pentadbiran lalu. Sebelum dilantik sebagai Ketua Hakim Negara, beliau telah melalui beberapa peringkat penting dalam bidang kehakiman. Pada 2014, Dato’ Wan Ahmad Farid mula menyertai badan kehakiman sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu. Kemudian, beliau dinaikkan sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dan seterusnya Hakim Mahkamah Persekutuan, jawatan tertinggi dalam hierarki kehakiman sebelum dilantik ke kedudukan Ketua Hakim Negara.
Dalam Islam, sistem kehakiman bukan sekadar urusan teknikal undang-undang. Ia adalah cabang penting dalam menjamin keadilan sosial, melindungi hak orang lemah dan menundukkan kezaliman. Keadilan dalam Islam ditegakkan bukan berdasarkan pengaruh, kedudukan atau pangkat, tetapi atas dasar kebenaran yang bersumberkan ilmu dan taqwa. Sabda Rasulullah SAW bahawa hakim itu ada tiga jenis, dan hanya satu akan berada di syurga iaitu yang menghukum dengan adil berdasarkan ilmu. Hadis ini harus menjadi ingatan kepada semua pemegang kuasa kehakiman hari ini.
Pelantikan Ketua Hakim Negara ini perlu dilihat bukan sebagai satu kejayaan peribadi, tetapi sebagai titik tolak kepada usaha membersihkan kembali persepsi rakyat terhadap sistem perundangan negara. Bebas daripada sebarang bentuk berkepentingan sama ada politik, peribadi atau kelompok tertentu adalah kunci utama untuk menjadikan mahkamah kembali dihormati. Ketua Hakim bukan sekadar nama pada hierarki, tetapi simbol kepada prinsip “keadilan itu tiang kepada pemerintahan”.
Rakyat kini menanti bukan sekadar ucapan, tetapi tindakan yang wajar. Keberanian untuk menegakkan yang hak dan menolak yang batil adalah tuntutan yang tidak boleh ditunda. Dalam suasana negara yang berdepan pelbagai ujian kepercayaan, institusi kehakiman perlu bangkit sebagai pembela sebenar rakyat, bukan sebagai pelindung kepada mereka yang kebal.