‘Israel’ kini sedang berdepan dengan wabak campak yang telah meragut nyawa lapan orang bayi ketika pihak berkuasa bergelut untuk mengekang penularan virus yang sangat mudah berjangkit ini. Wabak tersebut kini telah merebak ke sembilan penempatan di seluruh ‘Israel’, menurut laporan media berbahasa Ibrani.
Laporan pada hari Ahad menyebut bahawa seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun telah meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan di Pusat Perubatan Universiti Hadassah, Ein Kerem, selepas menjalani rawatan di hospital selama sepuluh hari dalam keadaan serius.
Kematian kanak-kanak itu merupakan kes kematian kelapan sejak wabak bermula pada bulan April. Kementerian Kesihatan (MoH) mengesahkan bahawa semua lapan kanak-kanak yang meninggal dunia tidak menerima vaksin dan berumur bawah dua tahun setengah.
Gelombang semasa pada awalnya tertumpu di kawasan yang mempunyai liputan vaksinasi rendah seperti Baitulmaqdis (Jerusalem), Beit Shemesh, dan Bnei Brak, namun kini telah merebak dengan ketara sejak kebelakangan ini.
Data rasmi menunjukkan lebih daripada 1,700 pesakit telah disahkan dijangkiti campak, namun model statistik menganggarkan jumlah sebenar individu yang dijangkiti adalah hampir 5,000 orang.
“Kami tahu penyakit ini sedang kurang dilaporkan, dan terdapat beberapa ribu lagi pesakit yang dijangkiti tetapi belum didiagnosis,” kata Sharon Alroy-Preis, ketua epidemiologi ‘Israel’.
Penyakit ini kini memberi tekanan besar kepada sistem kesihatan ‘Israel’, dengan 468 pesakit memerlukan rawatan di hospital, di mana 93% daripadanya adalah kanak-kanak.
Sumber: Roya News TV
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam








