Kegagalan Menggunakan Bahasa Kebangsaan Menyalahi dan Menjejaskan Perlembagaan Perlembagaan – DBP

BANGI, 19 Jamadilawal – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menegaskan bahawa kegagalan mematuhi arahan penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi kerajaan merupakan satu tindakan yang mencabul Perlembagaan dan boleh dianggap sebagai usaha menjatuhkan martabat bahasa Melayu.

DBP menekankan bahawa bahasa kebangsaan mesti digunakan sepenuhnya dalam semua urusan rasmi kerajaan, termasuk surat-menyurat, dokumen, komunikasi, penamaan program, serta majlis rasmi dalam Perkhidmatan Awam.

Pemerhatian DBP mendapati masih terdapat kecenderungan sesetengah agensi kerajaan untuk menggunakan bahasa asing secara berlebihan, termasuk nama atau slogan program yang sepenuhnya dalam bahasa asing.

Menurut DBP, tindakan sedemikian tidak sejajar dengan aspirasi kerajaan dan imej kebangsaan, malah menjejaskan usaha pemerkasaan bahasa kebangsaan yang giat dijalankan.

DBP menegaskan bahawa penggunaan bahasa asing atau bahasa rojak dalam konteks rasmi “tidak selari dengan penegasan Kerajaan melalui Surat Edaran Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), bertarikh 29 Oktober 2025.” Surat edaran itu menjelaskan bahawa semua urusan rasmi kerajaan, termasuk program, aktiviti, dan projek yang dianjur atau diurus, hendaklah menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya.

Penegasan ini turut selaras dengan teguran berterusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mahu semua agensi kerajaan mematuhi sepenuhnya peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Pekeliling Perkhidmatan sedia ada. Beliau menekankan bahawa bahasa Melayu bukan sekadar medium pentadbiran, tetapi simbol kedaulatan dan identiti kebangsaan yang wajib dipertahankan dan dimartabatkan di semua peringkat Perkhidmatan Awam.

DBP menegaskan bahawa sebagai organisasi yang bertanggungjawab memartabatkan bahasa Melayu, pihaknya sentiasa bersedia membantu meningkatkan taraf bahasa Melayu bagi pelbagai pihak yang memerlukan, serta bekerjasama dengan kementerian atau kerajaan negeri dalam usaha memperkasakan bahasa Melayu dan memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap dasar bahasa kebangsaan.

Sumber: TV Pertiwi

📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts