Ahli Sains P4le$tin, Omar Yaghi Memenangi Hadiah Nobel Kimia 2025

Berkeley, AS (QNN) – Seorang pelarian Palestin di Jordan, ahli kimia Omar Yaghi telah memenangi Hadiah Nobel Kimia 2025 atas hasil kerjanya dalam bidang rangka logam-organik (Metal–Organic Frameworks, MOFs). Beliau berkongsi anugerah tersebut bersama Richard Robson dari Universiti Melbourne dan Susumu Kitagawa dari Universiti Kyoto.

Akademi Sains Diraja Sweden memuji ketiga-tiga saintis itu kerana “mencipta binaan molekul dengan ruang besar yang membolehkan gas dan bahan kimia lain mengalir melaluinya.” MOF berupaya menyimpan, menapis, dan menukar molekul, dengan aplikasi dalam tenaga bersih, penangkapan karbon, dan pengekstrakan air.

Yaghi, yang berasal dari Kampung Al-Masmiyya al-Kabira yang merupakan sebuah kampung yang telah dikosongkan oleh militan Zionis pada tahun 1948 dan dilahirkan di Amman pada tahun 1965 dalam sebuah keluarga pelarian Palestin. Beliau membesar dalam keadaan serba sederhana sebelum berpindah ke Amerika Syarikat untuk melanjutkan pelajaran.

Beliau belajar di Hudson Valley Community College dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam Kimia dengan kepujian pada tahun 1985, kemudian menyelesaikan PhD di Universiti Illinois di Urbana-Champaign pada tahun 1990.

Yaghi pernah memegang jawatan penyelidikan dan akademik di Harvard, Arizona State University, University of Michigan, dan UCLA, sebelum menyertai UC Berkeley pada tahun 2012. Beliau mengetuai beberapa program penyelidikan yang mempromosikan kerjasama saintifik global, termasuk Berkeley Global Science Institute, yang mempunyai pusat penyelidikan di Asia, Timur Tengah, dan Amerika Latin.

Dalam kenyataan pertama selepas menerima Hadiah Nobel, Yaghi menggambarkan sains sebagai “kuasa penyamarata” yang membolehkan sesiapa sahaja, di mana sahaja, memberi sumbangan kepada kemanusiaan.

“Sains menyamakan peluang,” katanya.

Hasil penyelidikan Yaghi dalam bidang MOF telah membantu menghasilkan bahan yang mampu menangkap karbon dioksida, menyimpan hidrogen dan metana, serta mengekstrak air minum daripada udara kering. Kajian beliau merapatkan jurang antara kimia organik dan bukan organik serta memberi impak besar terhadap tenaga bersih dan kelestarian global.

Yaghi merupakan ahli kepada pelbagai akademi saintifik terkemuka, termasuk Akademi Sains Kebangsaan Amerika Syarikat dan Akademi Sains Kebangsaan Jerman Leopoldina. Beliau juga telah menerima pelbagai anugerah berprestij seperti Hadiah Tang 2024 dalam Pembangunan Mampan, Hadiah Wolf 2018 dalam Kimia, dan Anugerah Von Hippel 2025.

Sumber: Quds News Network

📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts