Palestin seru Malaysia pengaruhi dunia pertahan Masjid Al-Aqsa

KUALA LUMPUR: Palestin menyeru Malaysia supaya menggunakan pengaruh dan kelantangan bersuaranya untuk mengajak dunia untuk bersama mempertahankan Masjid Al-Aqsa daripada serangan rejim Zionis.

Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali menyifatkan, serangan sering dilakukan ke atas masjid itu kerana ia dipercayai merupakan sebahagian daripada usaha Israel untuk merampas seluruh kawasan masjid tersebut.

Justeru katanya, sokongan terhadap mempertahankan masjid itu amat penting kerana percaya pengaruh besar yang ada pada Malaysia dalam menghentikan keganasan Israel.

“Malaysia boleh memainkan peranan di peringkat serantau dan antarabangsa. Malaysia boleh mempengaruhi banyak negara Asia di rantau ini, untuk menunjukkan sokongan dan solidariti mereka kepada Palestin.

“Melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia sentiasa bercakap dengan lantang dan jelas mengenai sokongan mereka kepada perjuangan Palestin.

“Kami tidak pernah mempersoalkan pendirian rakyat Malaysia yang menyokong Palestin. Tetapi saya meminta supaya terus memberi tekanan kepada negara-negara jiran dalam negara-negara Asia dan negara-negara yang bersahabat dengan Malaysia untuk berkongsi sokongan mereka dan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara dan untuk meningkatkan perwakilan Palestin di negara-negara lain,” katanya dalam sidang akhbar di ibu negara.

Katanya, tanpa pengaruh, kecaman dan gesaan dari negara seperti Malaysia, negara-negara lain akan terus berdiam diri termasuk sekutu Israel.

“Kami sebagai rakyat Palestin ingin bertanya, jika komuniti antarabangsa berjaya mengenakan sekatan terhadap Russia berhubung apa yang berlaku di Ukraine, mengapa selama tujuh dekad, mereka tidak pernah serius untuk mengambil tindakan terhadap Israel?

“Jadi, menjadi tanggungjawab mereka yang bersekutu dengan Israel, kepada mereka yang menyokong Israel untuk menghentikan ketidakadilan, dan bersikap adil dengan Palestin dan menganggap rakyat Palestin sebagai mangsa. Kami mahu komuniti antarabangsa memainkan peranan positif dalam melayani kami sama rata seperti negara lain,“ katanya.

Pada masa sama, Walid menghargai sumbangan kerajaan Malaysia sejumlah AS$124,179 (kira-kira RM561,996) untuk pelbagai projek pembangunan di Palestin melibatkan tiga pihak hasil derma rakyat negara ini melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang diwujudkan oleh Kementerian Luar sejak 2002.

Ia meliputi sejumlah AS$50,000 (kira-kira RM220,620) yang disampaikan terus kepada pihak Kementerian Awqaf dan Hal Ehwal Islam Jordan untuk Masjid Al-Aqsa.

Sebahagian sumbangan kepada Kementerian Pendidikan Palestin melibatkan AS$30,000 (kira-kira RM132,367) untuk pemasangan fasiliti sistem solar dua buah sekolah di Tebing Barat dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia di Jordan.

Selebihnya iaitu AS$44,179 (kira-kira RM200,000) untuk Global Peace Mission melakukan pelbagai projek pembinaan semula rumah warga Palestin yang dimusnahkan rejim Israel.

“Kami hargai sokongan yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, menteri agama, menteri-menteri dan banyak parti-parti politik antaranya UMNO.

“Mesej Malaysia amat jelas dan mereka menunjukkan sokongan, bersolidariti dengan Palestin dan bagi pihak Palestin, saya amat menghargai apa yang Malaysia lakukan,” katanya. – UTUSAN

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts