Ajaran sesat: Jakim mohon kerjasama jabatan agama negeri ambil tindakan

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mohon kerjasama jabatan agama negeri-negeri untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap sebarang aktiviti berkaitan ajaran sesat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, pada masa sama, pihaknya juga melaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sekiranya terdapat penyebaran ajaran sesat melalui media sosial.

“Kalau perkara itu berlaku di negeri-negeri, pihak Jakim akan menghubungi negeri-negeri tersebut untuk mengambil tindakan. Contohnya sewaktu kes ‘Perjalanan Mimpi Yang Terakhir’ berlaku dan minta Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bertindak.

“Selain itu kes bomoh di Perak di mana pihak berkuasa agama negeri memang memberi kerjasama baik dengan Jakim. Kalau di media sosial, ada laporan, kita akan maklumkan kepada MCMC,” katanya kepada pemberita pada pelancaran Bulan Solat Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 di sini semalam.

Sebelum ini, Pengarah Jais, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya akan bertindak tegas terhadap umat Islam di negeri ini yang terlibat dengan ajaran ‘mimpi’ seorang lelaki dikenali sebagai Muhammad Qasim Abdul Karim.

Dalam masa sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary sebelum ini memaklumkan, kerajaan sedang memantau sekiranya ada individu atau kumpulan yang terlibat dengan penyebaran ajaran ‘mimpi’ Muhammad Qasim di negara ini.

Kumpulan yang mula bertapak di negara ini didakwa mengajak orang ramai mempercayai seorang lelaki dari Pakistan menerusi mimpinya berkaitan akhir zaman.

Mereka dikenali sebagai Gerakan Akhir Zaman (Gaza) yang berasal dari Indonesia dipercayai membuat persiapan akhir zaman berdasarkan mimpi Muhammad Qasim yang mendakwa hanya mengikut kehendak Allah.

Sementara itu, Idris menasihati umat Islam supaya berhati-hati dengan menuntut ilmu secara berguru serta tidak bersandarkan kepada internet semata-mata.

“Soal agama ini kita kena mengaji dengan guru dan bukannya sekadar melalui YouTube atau Google. Itu sebagai nilai tambah (tetapi) asas kena ada. Imam Ghazali ada mengatakan, jika mengaji tanpa guru, tok guru kita syaitan dan sebab itu kita kena belajar,” jelasnya. – Utusan Malaysia

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts