Al Jazeera kutuk pembunuhan keluarga wartawan Wael Al-Dahdouh

BANGI – Rangkaian media antarabangsa, Al Jazeera mengutuk sekeras-kerasnya penyasaran dan pembunuhan orang awam yang tidak berdosa di Gaza, termasuk anggota keluarga wartawan veterannya, Wael Al-Dahdouh.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Al Jazeera turut menzahirkan ucapan takziah dan simpati terhadap Wael atas kehilangan isteri, dua anak dan beberapa anggota keluarga lain dalam serangan udara Israel.

“Serangan sembarangan tentera penjajah Israel mengakibatkan (Wael) kehilangan isteri, anak lelaki dan anak perempuannya, manakala seluruh keluarga lain tertimbus di bawah runtuhan.

“Rumah mereka disasarkan di kem Nuseirat di tengah Gaza, di mana mereka mencari perlindungan selepas kehilangan tempat tinggal akibat pengeboman awal di kawasan kejiranan mereka, berikutan gesaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu supaya orang awam berpindah ke selatan,” kata Al Jazeera.

Menurut kenyataan itu, Al Jazeera memaklumkan mengambil berat mengenai keselamatan dan kesejahteraan rakan sekerja di Gaza dan menganggap pihak berkuasa Israel turut bertanggungjawab ke atas keselamatan mereka.

Justeru, Al Jazeera menggesa masyarakat antarabangsa untuk campur tangan dan menamatkan serangan ke atas orang awam bagi melindungi nyawa mereka yang tidak bersalah.

Kematian keluarga wartawan veteran Al Jazeera itu mengisi senarai lebih 6,500 rakyat Palestin yang menjadi mangsa kerakusan rejim Israel dalam perang yang sudah berlanjutan lebih dua minggu.

Wael disifatkan sebagai tulang belakang liputan serangan Israel di Gaza bagi stesen penyiaran antarabangsa itu.

Al Jazeera melaporkan, dua anak Wael yang syahid dalam serangan itu ialah Mahmoud, sedang belajar di sekolah menengah dan anak perempuannya, Sham yang berusia tujuh tahun. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts