Al-Sultan Abdullah terima anugerah Darjah Kerabat Mahkota Brunei

 

BANDAR SERI BEGAWAN – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima anugerah Darjah Kerabat Mahkota Brunei (D.K.M.B), iaitu bintang kebesaran tertinggi di negara itu yang dikurniakan oleh Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.

Pengurniaan darjah kebesaran itu berlangsung pada Majlis Menghadap Sultan Brunei di Bilik Laila Kenchana, Istana Nurul Iman, di sini, hari ini.

Sultan Hassanal turut berkenan mengurniakan Darjah Kerabat Laila Utama Yang Amat Dihormati (D.K) kepada Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Dalam istiadat itu juga, Yang di-Pertuan Agong berkenan mengurniakan anugerah Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N) kepada isteri Sultan Brunei, Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

Penganugerahan darjah kebesaran itu mengimbau kembali detik sejarah, ketika Yang di-Pertuan Agong ketujuh Almarhum Sultan Ahmad Shah, ayahanda kepada Sultan Abdullah mengurniakan darjah kebesaran itu kepada Sultan Hassanal pada Oktober 1980.

 

 

Terdahulu, istiadat Sambutan Negara itu diadakan khas bagi menyambut kunjungan Seri Paduka ke Brunei, bagi Lawatan Negara selama tiga hari.

Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berangkat tiba di Bandar Seri Begawan semalam dan ia merupakan lawatan negara pertama Tuanku, sejak ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lepas.

Pertemuan kedua-dua Ketua Utama negara itu bertujuan, mengukuhkan lagi hubungan diraja antara kedua-dua negara yang terjalin lebih tiga dekad lamanya.

Ketibaan Seri Paduka di Istana Nurul Iman bagi Istiadat Sambutan Negara kira-kira pukul 11 pagi, disambut Datuk Paduka Maharaja Lela Brunei Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana, Pengiran Alauddin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Abu Bakar.

Perasmian istiadat itu dimulakan dengan lagu kebangsaan Malaysia ‘Negaraku’, dimainkan oleh kumpulan pancaragam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, diikuti lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam ‘Allah Peliharakan Sultan’.

Sejurus itu, tembakan 21 das meriam dilepaskan.

Sultan Abdullah yang diiringi Sultan Hassanal, kemudiannya memeriksa barisan Kawalan Kehormat Tentera Darat Diraja Brunei terdiri daripada 110 anggota, yang diketuai Mejar Pengiran Md Razif Pengiran Idros.

Yang di-Pertuan Agong kemudiannya dijadual berangkat melawat Muzium Alat-Alat Kebesaran Regalia Diraja serta Kampong Ayer, yang merupakan sebahagian daripada atur cara rangka lawatan baginda. – Bernama

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts