Almarhum Ustaz Dato’ Abu Bakar Al-Baqir, ulama pejuang kenegaraan

abu_bakar_al-baqir

 

Pada 5 Safar 1438 Hijrah bersamaan 5 November 2016, saya ditugaskan mewakili Sahibus Samahah Mufti untuk menyempurnakan bacaan doa di dalam istiadat Menghadap Sembah Taat Setia, Istiadat Menjunjung Duli dan Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan tahun ini di Istana Iskandariah Kuala Kangsar.

Antara perkara yang sangat menarik perhatian saya ialah DYMM Tuanku Sultan berkenan untuk mengurniakan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (D.P.M.P) yang membawa gelaran Dato’ secara anumerta kepada Almarhum Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dan diterima oleh puteri kepada Allahyarhamhu.

Ia adalah satu penganugerahan kepada beliau secara khusus bahkan kepada jasa ulama secara umumnya. Tokoh ini lahir pada 1907 dan meninggal dunia pada 13 Julai 1974. Berpendidikan dalam negara dari beberapa buah madrasah seperti Madrasah al Rahmaniah Gunung Semanggol, Madrasah Dauratul Maarif al Wataniah, Kepala Batas dan Madrasah Idrisiah Kuala Kangsar. Beliau juga adalah pengasas Maahad al Ehya al Sharif Gunung Semanggol.

Beliau adalah salah seorang daripada ribuan pejuang kenegaraan  di kalangan para ulama. Masih ramai yang tidak dikenali (majhul). Kita berdoa agar mereka diganjari dengan ganjaran setimpal .

Jasa Allahyarhamhu wajar dikenang dan dijadikan sumber inspirasi kepada generasi sekarang. Perjuangannya menegakkan syariat Islam dilakukan secara berangkai tiga perkara pokok iaitu pendidikan, politik, dan ekonomi.

Dalam bidang pendidikan, beliau telah membangunkan manhaj baru pendidikan untuk umat Islam dengan memperkenalkan pendidikan poitik , ekonomi dan kerja kebajikan melalui Maahad Ehya al Sharif. Di samping subjek teras (tauhid, feqh, tasauf, tafsir dan hadith) turut diperlengkapkan dengan subjek sejarah, logika, ilmu hisab, ilmu alam, bahasa Inggeris, kesusateraan Melayu, tatanegara, pidato umum, seni khat dan ilmu pertukangan. Beliau juga menubuhkan Lembaga Pendidikan Rakyat (LEPIR) pada 15 November 1947 dan sangat berperanan merangka dasar pendidikan bertaraf nasional.

Dalam bidang politik beliau telah menubuhkan Majlis Agama Tertinggi Malaya (MATA) susulan daripada kejayaan menghimpunkan 2000 alim ulama dan cerdik pandai Melayu serta utusan dari Singapura dan Indonesia pada 22-24 Mac 1947. Beliau juga menubuh dan memimpin parti Hizbul Muslimin (HAMIM) pada 14 Mac 1948 bertujuan memperjuangkan kemerdekaan negara.

Usaha beliau ini digeruni oleh penjajah dan beliau ditahan oleh kerajaan kolonial Inggeris pada 29 Julai 1948 sehingga Oktober 1952. Beliau berjaya merombak perasaan, pemikiran dan mentaliti umat Islam terutama di Perak daripada satu bangsa yang jiwanya terjajah dan perasaan penuh rendah diri diangkat menjadi satu bangsa yang tahu harga diri dan bersedia melakukan perubahan besar.

Dalam bidang ekonomi, melalui Persatuan Ehya al Sharif yang didaftarkan di bawah undang-undang syarikat, pada tahun 1940, beliau mengusahakan tiga projek: kilang padi, stesen pam minyak dan stesen jana kuasa elektrik. Stesen janakuasa elektrik berjaya dibina dalam tahun 1956, menawarkan perkhidmatan kepada penduduk kawasan Gunung Semanggol, Bukit Putus, dan Kubu Gajah dengan bayaran satu ringgit sebulan bagi sebuah rumah selama satu dekad.

Beliau juga antara tokoh yang lebih awal meledakkan kesedaran kempen menggunakan barangan buatan sendiri yang terjamin bersih dari segi syarak; dan berjaya membangunkan beberapa kilang serbuk kopi, kicap dan taucu di Taiping, Tanjong Malim, Kuala Kangsar dan Ipoh sebagai permulaan penceburan bangsa Melayu dalam dunia perniagaan.

Sahibus Samahah Ustaz Zamri Hashim
Timbalan Mufti Negeri Perak

www.indahnyaislam.my

 

Sesungguhnya kita tidak mampu lagi menafikan peranan ulama di dalam memerdekakan negara dari penjajahan kolonial Inggeris dan peranan mereka di dalam memerdekakan pemikiran umat Islam daripada terus bergantung kepada orang asing. Perjuangan mesti dimulakan dengan jihad ilmu dan pemahaman dan disokong bantu dengan ekonomi.

 

Beliau juga sepatutnya menjadi inspirasi kepada pejuang-pejuang agama di kalangan ulama mahupun aktivis dakwah untuk mempelbagaikan pendekatan dakwah . Satu fakta yang menarik ialah  bumi Perak Darul Ridzwan sebenarnya pernah melahirkan para pejuang agama yang tebal rasa cintanya kepada bangsa dan negara.

Total
0
Shares
2 comments
  1. Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim…rahmatilah tokoh ini………ganjarilah dia dengan ganjaran setimpal…amin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts