Antara sunnah Nabi SAW dan perkara-perkara sunat: Timbalan Mufti

 

SERUAN kembali kepada al-Quran adalah seruan yang betul, patut diberikan perhatian serius oleh semua lapisan masyarakat dari pihak penggubal undang-undang sehinggalah kepada rakyat biasa, lebih-lebih lagi ia adalah saranan pemimpin utama negara iaitu YAB Perdana Menteri.

Namun seruan kembali kepada al Al-Quran bukan bermakna kita kena meninggalkan sunnah Rasulullah SAW. Ini disebabkan al-Quran sendiri memerintahkan kita patuh dan taat kepada Rasul SAW seperti di dalam firmanNya:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” (QS al-Nisa’: 59)

Terdapat senarai panjang ayat-ayat al Quran yang secara tuntas, tegas dan terang di mana Allah SWT memerintahkan Nabi SAW untuk menerang, menjelaskan ayat-ayat al-Quran kepada manusia bukan setakat menyuruh Baginda SAW hanya membacakan ayat-ayat berkenaan sahaja. Sekadar membacakan sudah tentu berbeza dengan membaca lantas menerangkan bacaan berkenaan.

Firman Allah SWT: Dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya. (QS al-Nahl: 44)

Allah SWT juga mengarahkan kepada Rasulullah SAW menerusi al-Quran agar Baginda SAW meleraikan kekusutan di kalangan mereka dengan menjelaskan maksud ayat-ayat al Quran. Firman Allah SWT: Dan tiadalah Kami menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) melainkan supaya engkau menerangkan kepada mereka akan apa yang mereka berselisihan padanya; dan supaya menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. (QS al-Nahl: 64)

Imam Abu Abdillah Muhammad bin Idris al Syafie mengatakan apa juga hukum yang diputuskan oleh Nabi Muhammad SAW, adalah apa yang difahami oleh Rasulullah SAW terhadap al-Quran. Bahkan al Quran memberi peringatan kepada golongan yang menolak hukum yang telah diputuskan oleh Allah SWT dan RasulNya bahkan menyifatkan mereka sebagai sesat yang nyata seperti firman Allah SWT:

“Dan tidak patut bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” (QS al-Ahzab: 36)

Mereka yang mengasing-asingkan ketaatan kepada Allah dan RasulNya juga berada di dalam ancaman Allah bahawa amalan-amalan mereka akan terbatal seperti firmanNya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah, dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu!” (QS Muhammad: 33)

Ini disebabkan juga ia telah tidak mengendahkan arahan Allah SWT menerusi al-Quran agar mematuhi apa yang disuruh mahupun yang dilarang oleh Nabi SAW:

“Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).” (QS al-Hasyr: 7)

Allah SWT juga meletakkan syarat ketaatan kepada Nya adalah dengan mentaati RasulNya. Firman Allah SWT:

“Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah.” (QS al-Nisa’ :80)

“Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasul Allah, dan awaslah (janganlah sampai menyalahi perintah Allah dan RasulNya). Oleh itu, jika kamu berpaling (enggan menurut apa yang diperintahkan itu), maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas nyata.” (QS al-Maidah: 92)

Daripada ayat-ayat di atas dapat disimpulkan bahawa sunnah Nabi SAW adalah sumber perundangan kedua selepas al-Quran dan wajib dipatuhi. Peranan sunnah Nabi SAW adalah menjelaskan ayat-ayat al-Quran samada dari sudut keumuman ayat al-Quran, prinsip-prinsip asas Islam, menjelaskan secara praktikal terhadap ayat-ayat al-Quran yang datang secara umum sahaja seperti cara perlaksanaan solat, haji dan sebagainya.

Imam Abu Hanifah pernah mengungkap: Jika tiada sunnah maka tiada seorang pun yang memahami al-Quran. Al-Khatib al Baghdadi meletakkan satu bab di dalam kitab beliau: Bab persamaan antara hukum kitab Allah dan hukum dari sunnah Rasulullah SAW di dalam mengamalkannya dan kebertanggungjawabannya.

Namun ada orang keliru antara Sunnah Nabi SAW sebagai sumber perundangan kedua di dalam Islam dengan perkara-perkara sunat di dalam ibadah. Implikasinya jika kita gagal membezakan antara keduanya ialah kedudukan sunnah Nabi SAW sebagai sumber perundangan, rujukan dan mendapat autoriti dari Allah di dalam al-Quran agar dipatuhi akan dialihkan kepada kedudukan Sunnah sebagai hanya alternatif sahaja kerana terkesan dengan pemahaman awam yang mengatakan sunat adalah perkara yang apabila dibuat dapat pahala dan jika ditinggalkan tidak berdosa. Ini adalah fahaman yang salah dan wajib diperbetulkan!

Saya akan terangkan penggunaan al-Sunnah mengikut disiplin beberapa cabang ilmu Islam secara ringkas. Ia digunakan selaras dengan objektif disiplin ilmu itu dipelajari.

Ahli bahasa (ahl al-lughah) mendefinisi sunnah sebagai jalan samada jalan itu menghala kepada keburukan mahupun kebaikan, ahli Fekah (ahl al-feqh) yang memberi penumpuan kepada hukum-hukum perbuatan manusia menjadikan al-sunnah sebagai salah satu hukum taklifiah yang lima iaitu wajib, sunat,haram,makruh dan harus. Ahli-ahli dakwah (ahl al-dakwah) menjadikan perkataan al-Sunnah sebagai lawan kepada perkara bid’ah.

Ulama Usul pula menakrifkan sunnah sebagai apa yang keluar dari Nabi SAW samada perkataan Baginda SAW kecuali al-Quran, perbuatan mahupun perakuan Baginda SAW sebagai sumber perundangan. Ahli Hadith pula memberi takrif sunnah ialah apa yang dikesani dari Nabi SAW samada ucapan Baginda SAW, perbuatan, perakuan, sifat kejadian Nabi SAW, akhlak dan sirah Rasul SAW.

Ramai yang terperangkap dalam “penjara” pemahaman sunnah dari sudut ilmu feqh sehingga mengecilkan skop peranan Sunnah sebagai sumber perundangan Islam.

Bagi ulama feqh sunnah skop perbincangan mereka ialah perbuatan-perbuatan manusia sebagai hamba Allah SWT, telah menakrifkan sunnah sebagai sesuatu yang pasti dituntut (melakukan atau meninggalkannya) melalui dalil syarie tetapi tidak sampai kepada perintah fardhu ataupun wajib. Diberi pahala kepada pelakunya dan tidak berdosa kepada orang yang meninggalkannya. Ia juga disebut sebagai mandub ataupun mustahab.

Semuanya berpunca dari arahan Rasulullah SAW, samada menerangkan al-Quran ataupun panduan dari baginda SAW sendiri. Arahan baginda samada arahan perintah berbuat sesuatu atau perintah meninggalkannya. Maka jika perintah berbuat sesuatu, maka hukumnya wajib, namun jika ada petunjuk-petunjuk lain (qarinah) yang dapat difahami bahawa perkara itu tidak sampai hukum wajib maka ia menjadi sunat.

Untuk meletakkan perintah wajib menjadi sunat perlu kepada dalil lain di samping arahan-arahan jelas dari Nabi SAW. Adalah satu kesalahan merangkumkan semua hadith itu adalah sunat yang kita diberi pilihan untuk mengamalkannya ataupun tidak!

Saya cadangkan agar kita mula beransur-beransur mempopularkan perkataan mandub ataupun mustahab menggantikan perkataan sunat jika pemahaman umat Islam semakin mengecil dengan pemahaman al-sunnah sehingga hanya terpenjara dalam mafhum hukum fekah sahaja sedangkan al-sunnah mempunyai autoriti perundangan yang lebih luas.

Kesimpulannya, seruan kembali kepada al-Quran akan lebih mudah difahami dan dipraktikkan jika kita menjadi al-sunnah sebagai sumber kedua yang dapat memahahamkan lagi kehendak-kehendak Allah memerusi ayatnya.

Seruan kembali kepada al-Quran juga sebenarnya mencelikkan mata pemerintah agar dapat merealisasikan perintah-perintah jelas al-Quran terhadap pengharaman riba, arak, perjudian, pencelaan terhadap LGBT, perlaksanaan hudud dan sebagainya.

Sahibus Samahah Ustaz Zamri Hashim
Timbalan Mufti Perak

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
1 comment
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts