Azan dan wuduk jentik hati peluk Islam

Klang: Melihat rakan di pusat pemulihan dadah mengambil wuduk untuk solat dan melaungkan azan menjadi titik tolak seorang lelaki untuk mengenali dan mendekati Islam.

Hasrat Anand Thangarajoo, 52, tidak terhenti meskipun sudah keluar dari pusat berkenaan kerana dia dikelilingi rakan muslim malah ada ahli keluarganya memeluk agama Islam sejak lapan tahun lalu.

Walaupun mengambil masa yang agak lama untuk memutuskan kembali ke agama fitrah, Anand memilih 11 Ramadan iaitu semalam sebagai tarikh istimewa melafazkan kalimah syahadah.

Anand yang juga berhasrat memilih nama Ali atau Kamarul sebagai nama baharunya kelak, melafazkan syahadah bersama dua lagi mualaf wanita di hadapan kira-kira 450 mualaf, Orang Kelainan Upaya (OKU) serta asnaf fakir dan miskin di Masjid Jamek Ar-Rahimiah, di sini.

“Seikhlas hati saya memilih Islam sebagai pegangan hidup saya, saya gembira kerana ramai memberi sokongan kepada saya terutama keluarga yang sudah lama memeluk Islam.

“Mulai esok (hari ini) saya kena belajar berpuasa walaupun sekadar separuh hari atau satu dua jam saja. Saya juga akan usaha belajar solat dan ramai yang sudi membantu saya melakukan ibadah kepada Allah SWT,” katanya.

Dia antara yang diraikan di Majlis Iftar bersama Mualaf, Asnaf dan OKU anjuran Perkim Cawangan Klang dan Masjid Jamek Ar-Rahimiah, di sini malam tadi.

Bagi Nur Aisyah Abdullah, 21, dibesarkan oleh keluarga angkat beragama Islam membuka ruang baginya untuk memilih Islam dan tiada pihak yang menghalang.

“Dulu saya tidak terbuka hati ..tetapi lama-lama dengar keluarga di rumah mengaji, azan, tengok mereka solat, saya jadi minat sangat. Lepas itu, saya cakap pada keluarga hendak masuk Islam, saya berserah dan bergantung harap segalanya pada Allah SWT,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Perkim Cawangan Klang, Hushim Salleh berkata, majlis itu bukan iftar semata tetapi sebagai ‘support system’ memandangkan tidak semua yang memeluk Islam direstui keluarga malah ada dibuang keluarga, hilang kerja kerana memilih Islam selain hidup sebatang kara.

“Itulah peranan kami malah dalam Perkim Klang sendiri ramai mualaf. Apa yang kami lakukan sebagai usaha bahawa semua mualaf dalam perhatian kita, kita akan sentiasa membantu dan menyokong mereka.

“Lembaga Zakat Selangor (LZS), Majlis Agama Islam Selangor (Mais) serta Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) juga masjid..kita bekerjasama membantu mereka dari masa ke semasa dari segi mental, emosi.

“Alhamdulillah, di Selangor ada banyak agama untuk mereka seperti kelas mengaji, fardu ain, kaunseling malah Perkim Selangor sendiri ada pusat kaunseling untuk bantu mualaf termasuk yang berdepan masalah kewangan, rumah tangga, cabaran banyak dari segi akidah dan sebagainya,” katanya.- My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts