Raja Perlis pemerintah jujur terhadap agama Islam

KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang menyambut ulang tahun keputeraan ke-80 hari ini adalah seorang pemerintah yang jujur terhadap agama Islam dan mempunyai pandangannya tersendiri.

Malah, baginda turut bertindak sebagai pelindung kepada pegangan agama Islam di negeri ini.

Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, Tuanku Syed Sirajuddin sentiasa mengambil panduan dalam melaksanakan beberapa perkara berkaitan agama Islam dengan berdasarkan kepada amalan dilakukan pada zaman Nabi dan para sahabat.

“Mungkin ramai orang beranggapan baginda hanya mengikut apa dikatakan mufti, majlis agama Islam dan sebagainya. Namun pada saya Tuanku Syed Sirajuddin mempunyai pandangan agamanya sendiri.

“Sesiapa yang mengenali atau pernah bersembang dengan baginda pasti mengetahui bahawa baginda adalah merupakan pelindung kepada pegangan negeri ini,” katanya.

Mohd. Asri berkata, pengembangan agama Islam di negeri ini diperkukuh dengan susun tadbir yang baik oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail demi kepentingan seluruh rakyat.

Katanya, langkah itu menjadi kunci kepada kejayaan negeri ini yang kian mendapat tumpuan daripada seluruh negara berkaitan urusan agama Islam khususnya membabitkan penganjuran program seperti Perkampungan Sunnah, seminar dan lain-lain.

“Dalam soal agama Islam, baginda sentiasa mendekati sumber asal yang termaktub dalam berbagai-bagai mazhab dan tidak terkeluar daripada empat mazhab sedia ada atau imam-imam terbilang dalam sejaran Islam,” katanya.

Di samping itu, Mohd. Asri berkata, Tuanku Syed Sirajuddin berusaha bagi menyatu padukan umat Islam di negeri ini menerusi titah Tujuh Amanat Raja Perlis yang menyentuh pelbagai aspek berkaitan kemajuan Islam dan pemikiran rakyat.

Katanya, Tujuh Amanat itu bukannya satu rekaan dan dirangka sendiri oleh baginda bagi menyatupadukan rakyat negeri ini.

“Tujuh Amanat itu dijadikan teras dalam gerak kerja yang kita semua lakukan di negeri Perlis ini,” katanya. – UTUSAN

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts