Bacalah al-Mathurat dua kali sehari, banyak fadilat sedia menanti

Jika kita menyinggah mana-mana kedai buku agama atau masjid, pasti akan kelihatan buku kecil bertulis ayat al-Mathurat atau amalan al-Mathurat.

Mungkin ramai yang masih tidak berapa tahu apa itu al-Mathurat, ia adalah himpunan zikir dan wirid yang ma’thur dari Baginda Nabi Muhammad SAW.

Ia dikumpul dan disusun oleh Al-Imam As-Syahid Hassan al-Banna berdasarkan dalil-dalil yang sahih serta amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Beliau mengumpulkan wirid dan zikir yang diamalkan oleh Rasulullah SAW sebagai salah satu usaha untuk istiqamah berzikir setiap hari. Ia dibaca sebanyak dua kali sehari iaitu pada sebelah pagi dan sebelah petang.

Pastinya banyak kelebihan apabila kita mengamalkan wirid atau himpunan zikir ini.

Antara kelebihannya sebagaimana dipetik di laman wilayah.my.

1.Dapat perlindungan ALLAH
Ia dimulai dengan bacaan Taa’wuz yang bermaksud ‘Aku memohon perlindungan ALLAH YANG MAHA MENDENGAR lagi MAHA MENGETAHUI dari gangguan syaitan yang direjam’. Sebagai hamba ALLAH yang lemah, kita sentiasa berharap agar ALLAH melindungi kita daripada gangguan syaitan.

2. Membaca Ummul Kitab adalah bacaan agung
Bacaan al-Fatihah di dalamnya merupakan bacaan yang agung.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Demi ALLAH yang nyawaku di tangan-NYA, belum ada surah yang diturunkan di dalam Taurat, Injil, Zabur atau Furqan yang menandinginya. Dialah Al-Sab’ul Mathani dan Quran yang agung yang diturunkan kepadaku.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi dan an-Nasai)

3. Mendapat pahala yang besar
Membaca surah al-Baqarah dalam zikir Mathurat juga besar ganjaran pahalanya.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud, “Janganlah menjadikan rumah kamu seperti perkuburan, sesungguhnya syaitan lari daripada rumah yang dibaca padanya surah al-Baqarah”. (Hadis Riwayat Muslim)

4. Melindungi diri daripada gangguan syaitan
Antara keistimewaan membaca ayat Kursi adalah dapat menghindarkan diri daripada gangguan syaitan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Apabila kamu masuk ke tempat tidurmu, maka bacalah ayat Kursi ‘Allahu La Ilaha Illa Huwal Hayyul Qayyum’, sehingga habis ayat ini. Maka sesungguhnya, akan sentiasa ada penjaga dari ALLAH untuk kamu, dan syaitan tidak akan dapat mendekati kamu sehingga pagi” (Hadis Riwayat Bukhari)

5. Terdapat banyak doa yang diamalkan oleh Rasulullah SAW
Dalam al-Mathurat itu merupakan doa dari Nabi saw yang sewajarnya kita turut amalkan dalam kehidupan kita pada hari ini.

Antaranya adalah doa dijauhkan daripada sifat malas, kedekut dan dibelenggu hutang.
Maka Baginda SAW bersabda, ucapkanlah pada tiba waktu pada pagi dan petang bacaan ini:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ
Maksudnya, “Ya ALLAH, sesungguhnya aku berlindung kepada ENGKAU dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada ENGKAU dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada ENGKAU dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada ENGKAU dari bebanan hutang dan penindasan manusia.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

6. Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW
Di dalam wirid al-Mathurat juga banyak selawat ke atas Baginda SAW. Sebagai umat Islam untuk mendapatkan syafaat di akhirat kelak, kita dianjurkan untuk banyakkan berselawat.

Dari Ibn Mas’ud RA, bahawa Nabi saw bersabda, maksudnya, “Orang yang lebih berhak mendapat syafaatku pada hari kiamat ialah orang yang lebih banyak selawatnya kepadaku.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)- Sinar Islam Plus

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts