Piagam Madinah: Dasar pentadbiran Negara Islam

piagam-madinah

 

Pada awal hijrah ke Madinah, penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum dan Agama iaitu; Muhajirin dari Makkah, Ansar (Aus dan Khazraj), Yahudi dan Arab Najran. Terdapat pula tiga puak dari Aus, lima puak dari Khazraj dan lapan puak dari Yahudi. [1] Dalam situasi kepelbagaian kaum dan agama sebegini, Rasulullah telah meletakkan dasar-dasar yang dipersetujui oleh semua penduduk Madinah yang merangkumi siyasah dalaman dan juga siyasah luaran. [2]

Dasar terpenting yang terkandung dalam Piagam Madinah ialah konsep ketaatan kepada Allah, ketaatan kepada Rasulullah dan ketinggian undang-undang. Dalam hal ini, Perkara 52 Piagam Madinah memperuntukkan;

“Dan sesungguhnya jika ada pertikaian antara pihak-pihak kepada dokumen ini, ia hendaklah dirujuk kepada Allah dan kepada Muhammad SAW,  Rasulullah, untuk membuat keputusan muktamad dan mutlak. Sesungguhnya Allah adalah Jaminan bagi pematuhan yang setia daripada kandungan perlembagaan ini (yang akan dikuatkuasakan oleh kerajaan).”

Sementara itu Perkara 59 dan 60 menyatakan;

Tiada pihak mempunyai hak untuk melanggar perlembagaan. Tiap-tiap orang yang melakukan jenayah akan bertanggungjawab kepada perbuatannya. Dan, nikmat Allah SWT akan tertakluk kepada pematuhan perlembagaan. Sesungguhnya Allah adalah jaminan bagi pematuhan dan kesetiaan semua rakyat kepada kandungan perlembagaan ini” [3]

Sebagai langkah awal, Rasulullah SAW telah mempersatukan antara Aus dan Khazraj dan seterusnya antara Muhajirin dan Ansar. Kemudian Baginda telah mempersatukan seluruh penduduk Madinah yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama melalui kontrak janji setia. [4] Terdapat dua jenis kerakyatan yang diklasifikasikan dalam Piagam Madinah, iaitu;

  1. Kerakyatan berasaskan aqidah, ideologi.
  2. Kerakyatan berasaskan kepada “kontrak”.

Perlu difahami bahawa Negara Islam adalah negara aqidah. Dengan ini seluruh penduduk Islam adalah warganegara berdasarkan aqidah. Manakala bukan Islam yang terdiri daripada Yahudi, Nasrani, Majusi dan sebagainya menjadi rakyat secara kontrak. Kontrak antara negara dan rakyat bukan Islam disebut dalam perundangan Islam sebagai “Aqad Zimmah”, iaitu jaminan.

Walaubagaimanapun, rakyat bukan Islam memiliki hak sama rata dengan rakyat yang beragama Islam dari segi;

  1. Perlindungan nyawa dan harta.
  2. Perlindungan maruah dan harga diri.
  3. Mendapat keperluan hidup.
  4. Hak mendapat kerja, mencari rezeki, bergerak.
  5. Mengisi jawatan-jawatan dalam kerajaan kecuali;
    • Kementerian yang bersifat agama.
    • Pertahanan.
    • Hakim Syariah.
  6. Kebebasan budaya dan beragama. [5]

Penduduk Madinah sama ada orang Islam dan bukan Islam dibahagi tanggungjawab mengikut kelompok masing-masing dan semua mereka bertanggungjawab kepada Negara dalam menjaga keselamatan sama ada dari dalam atau luar. Tidak boleh keluar kecuali dengan izin Rasululah s.a.w dan baginda yang menentukan damai atau perang.[6]

Ustaz Ahmad bin Khairuddin

www.indahnyaislam.my

Rujukan:

[1] Ustaz Abdullah Zaik, Nilai Perpaduan Dalam Sebuah Negara Islam Mengikut Perspektif Piagam Madinah, m/s 3. Kertas Kerja yang dibentangkan dalam Muzakarah Majlis Ulama ISMA: Fiqh Muwatanah/Kewarganegaraan dengan tema; “Model Piagam Madinah dan Aplikasinya dalam Konteks Perlembagaan Persekutuan dan Masyarakat Majmuk di Malaysia” pada 2 April 2016 di Danau Golf Club, UKM, Bangi.
[2] Lihat: Syeikh Dr Muhammad Abdul Qadir Abu Faris, Al-Nizom al-Siyasi fi al-Islam, terbitan Daar al-Furqan, Amman, Jordan, m/s 138.
[3] Prof Dr Shamrahayu A. Aziz, Perlembagaan Madinah Dan Perlembagaan Persekutuan: Satu Perbandingan. Kertas Kerja yang dibentangkan dalam Muzakarah Majlis Ulama ISMA: Fiqh Muwatanah/Kewarganegaraan dengan tema; “Model Piagam Madinah dan Aplikasinya dalam Konteks Perlembagaan Persekutuan dan Masyarakat Majmuk di Malaysia” pada 2 April 2016 di Danau Golf Club, UKM, Bangi.
[4] Ibid.
[5] Ibid, m/s 4.
[6] Ustaz Abdullah Zaik, Nilai Perpaduan Dalam Sebuah Negara Islam Mengikut Perspektif Piagam Madinah, m/s 3

Total
0
Shares
1 comment
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts