Banjir: MB Kelantan minta adakan solat hajat

 

BANGI – Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob hari ini menyeru semua pihak menganjurkan solat hajat dan bermunajat di seluruh masjid serta surau negeri itu, memohon supaya dilindungi daripada musibah banjir.

Beliau turut meminta penduduk yang tinggal di kawasan rendah membuat persiapan berpindah dengan segera sebelum menjelang malam, memandangkan situasi hujan yang masih tidak menentu dan paras air naik dengan cepat di beberapa lokasi.

Menurut Ahmad Yakob, ia memudahkan pihak berwajib mengendalikan urusan di pusat pemindahan selain mengutamakan keselamatan nyawa mangsa banjir.

“Musibah banjir adalah ujian Allah kepada kita semua bagi menguji keimanan dan kesabaran hambaNya.

“Semua pihak perlulah memastikan keselamatan keluarga masing-masing khasnya anak-anak kecil supaya tidak leka bermain air termasuklah memaklumkan dalam kadar segera kepada pihak keselamatan jika berlaku apa jua kemalangan yang tidak diingini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad berkata, pihaknya telah mengarahkan semua Jabatan Negeri dan Persekutuan turun membantu mangsa-mangsa banjir di semua lokasi pemindahan.

“Semoga situasi banjir di negeri ini tidak berpanjangan dan mereka yang berada di pusat pemindahan dapat pulang ke rumah masing-masing dengan selamat.

“Seluruh rakyat juga boleh merujuk kepada info semasa banjir Kerajaan Negeri bagi membuat persediaan sewajarnya. Info tersebut boleh dilihat pada laman http://ebanjir.kelantan.gov.my/p_pmrpt04.php,” katanya.

Banjir yang melanda Kelantan dilaporkan semakin buruk di mana jumlah mangsa di tujuh jajahan meningkat hampir 2,000 orang setakat pagi ini, berbanding 1,078 malam tadi. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts