Bebas tegakkan agama, makna kemerdekaan hakiki

 

MESKIPUN negara sudah mengharungi 63 tahun sebagai negara merdeka, erti kemerdekaan ada kalanya dicemari ideologi ekstrim hingga ada terpesong daripada penghayatan kemerdekaan sebenar.

Dalam konteks agama, Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Abdullah mentakrifkan kemerdekaan dalam Islam sebagai kebebasan menjalankan tanggungjawab agama tanpa halangan sama ada melakukan perkara wajib atau sunat.

Luqman berkata, kemerdekaan itu sendiri mempunyai makna suci dalam Islam, iaitu kesejahteraan, kedamaian dan keamanan.

“Hakikatnya, semua makna itu menjurus kepada maksud kemerdekaan yang kita fahami kini. Bagi Muslim, nikmat kebebasan dalam kemerdekaan seharusnya disyukuri dan dihayati maknanya,” katanya kepada BERNAMA di sini, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Luqman berkata, terdapat sesetengah masyarakat tersalah tafsir dalam memahami hak asasi manusia hingga memahami merdeka sebagai kebebasan berfikir secara mutlak dan melakukan apa sahaja tanpa mengikut tuntutan agama.

“Oleh itu, perlu ada sempadan tertentu dalam mengatur hak asasi ini. Sempadan itu adalah melalui ajaran agama dan perundangan serta mesti ada undang-undang mengawal kehendak masyarakat supaya ia tidak berada di luar norma kemanusiaan,” katanya.

Mengimbau kembali sejarah, beliau berkata, setelah negara mendapat kemerdekaan pada 1957, maka wujudnya negara yang mempunyai undang-undang sendiri seterusnya memberi kuasa kepada orang Islam membentuk negara berdaulat mengikut acuan agama.

Beliau berkata, pada zaman penjajahan British, banyak kekangan dalam pelaksanaan tanggungjawab sebagai Muslim tetapi selepas merdeka, negara sudah tidak lagi ditekan hingga masyarakat dapat melaksanakan tuntutan agama dengan bebas.

Menurutnya lagi, agenda kemerdekaan sebenar juga adalah untuk membela golongan tidak berkemampuan dan tertindas supaya mereka turut sama mengecapi kemerdekaan serta kemewahan hasil daripada kemerdekaan.

“Tanpa keadilan dan pembelaan kepada golongan itu, kemerdekaan hanyalah sekadar ‘cakap-cakap sahaja’ yang tidak mempunyai sebarang pengertian di sisi agama.

“Perbezaan antara orang Islam dengan bukan Islam pada zaman dahulu ialah kedatangan Islam membawa keadilan, tamadun dan perkembangan ilmu berbeza dengan penjajah menawan serta membunuh penduduk asal sesuatu tempat lalu merampas hasil bumi yang ada di situ,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, berkata kemerdekaan perlu disambut menurut tuntutan Islam yang membezakan diri daripada pihak penjajah serta golongan menyalahi Islam serta kembali kepada ajaran Islam sebenar.

Mohd Izhar Ariff berkata, kemerdekaan kini disambut secara meluas di seluruh negara bagi memperingati kegigihan dan kejayaan orang terdahulu yang berusaha berjuang serta berkorban mendapatkan hak dan kebebasan untuk negara.

“Kejayaan itu kemenangan untuk diraikan generasi akan datang seterusnya membangkitkan perasaan bangga apabila menyedari nikmat keamanan dan kejayaan negara ialah hasil pengorbanan serta titik peluh nenek moyang kita dahulu,” katanya.

Justeru, katanya, orang ramai perlu terus mengibarkan Jalur Gemilang sebagai memperingati kemerdekaan dan melengkapkan penghayatan setiap manusia terhadap makna serta hakikat kemerdekaan walaupun negara masih bergelut dengan pandemik COVID-19.

“Walaupun tahun ini kita tidak ada sambutan Hari Kebangsaan seperti kebiasaan berikutan COVID-19, pengisian merdeka itu masih boleh dilakukan seperti mengadakan solat hajat di rumah atau di masjid. Kita perlu menjadikan al-Quran dan sunah sebagai rujukan utama dalam hidup,” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts