‘bekal by foodpanda’ hantar pesanan dari premis ada sijil halal

KUALA LUMPUR: Platform penghantaran makanan, foodpanda Malaysia kini tampil dengan ‘bekal by foodpanda’ yang mendapat pengiktirafan sijil halal oleh Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM).

Inisiatif ‘bekal by foodpanda’ membabitkan penghantaran makanan yang dipesan menerusi aplikasi atau laman web foodpanda dari restoran atau premis makanan yang mempunyai sijil halal sahaja.

Pengerusi Jawatankuasa Halal DHE Logistics Sdn Bhd (DHE Logistics), Amri Mohd Sham, berkata selain menggunakan beg penghantaran khas, rakan penghantar ‘bekal by foodpanda’ juga tampil dengan pakaian berbeza dan hanya membabitkan mereka yang beragama Islam.

Katanya, rakan penghantar baharu dan lama turut diberikan latihan kesedaran dan pematuhan asas halal serta berkenaan sertu.

“Inisiatif ‘bekal by foodpanda’ bertujuan memberikan perkhidmatan menghantar makanan yang tidak dipersoalkan tahap halal kepada pengguna perkhidmatan foodpanda.

“Memang sebelum ini ada rungutan daripada orang ramai mengenai restoran yang diragui halal selain penggunaan beg penghantaran yang tidak diketahui kesuciannya.

“Dengan adanya ‘bekal by foodpanda’ iaitu satu-satunya platform penghantaran makanan diiktiraf halal oleh JAKIM, orang ramai tidak perlu berasa was-was dengan makanan mereka,” katanya kepada BH.

Beliau berkata, platform yang dikendalikan oleh DHE Logistics iaitu syarikat bersekutu kepada foodpanda Malaysia, bermula dengan projek perintis pada Oktober tahun lalu di Putrajaya dan mendapat sijil pengiktirafan daripada JAKIM, Disember lalu.

Katanya, ‘bekal by foodpanda’ di Putrajaya kini mempunyai kira-kira 100 rakan penghantar dengan jumlah vendor makanan yang mempunyai sijil halal di kawasan itu sudah berjumlah hampir 100.

“Projek perintis di Putrajaya selama tiga bulan tahun lalu mendapat sambutan positif dengan lebih 40,000 tempahan diterima.

“Justeru, inisiatif ini akan diperluaskan di seluruh Lembah Klang secara berperingkat dan bulan ini, kita menyasarkan 4,000 rakan penghantar.

“Menjelang Julai, berpuluh ribu rakan penghantar akan meliputi kawasan ini.

“Seterusnya, kita akan kembangkan inisiatif ini ke seluruh negara supaya lebih ramai orang mendapat perkhidmatan ditawarkan,” katanya.

Mengulas perjalanan foodpanda Malaysia dalam menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan halal, Amri berkata, ia bermula pada 2018 apabila DHE Logistics ditubuhkan sebagai rakan kongsi penghantaran halal yang berdedikasi.

Katanya, syarikat itu kemudiannya menubuhkan Jawatankuasa Halal Dalaman untuk mengawasi proses permohonan yang teliti dan rumit bagi mendapatkan pensijilan halal.

“Ia kemudiannya mendapat akreditasi daripada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai Sekolah Latihan Pengendali Makanan,” katanya.

Oleh itu, beliau amat berharap vendor makanan terutama Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mendapatkan sijil pengiktirafan halal segera untuk menyertai inisiatif ini.

Katanya, DHE Logistics juga menyediakan latihan dan bimbingan kepada vendor makanan dalam usaha mendapatkan sijil halal.

“Saya menggalakkan lebih banyak vendor makanan mendapatkan sijil halal kerana dengan pensijilan halal, kita akan dapat menyumbang kepada ekonomi halal tempatan secara langsung yang mana sektor makanan diramal mencecah RM201 bilion menjelang 2025,” katanya.

Amri berkata, ‘bekal by foodpanda’ akan dilancarkan secara rasmi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar pada 12 April ini.

Katanya, orang ramai yang berada dalam zon penghantaran ‘bekal by foodpanda’ boleh membuat pesanan makanan daripada vendor yang disahkan halal di platform foodpanda sama ada menerusi aplikasi atau laman web.

“Ada karusel ‘bekal’ pada halaman berkenaan dan di bawahnya tersenarai semua vendor yang mempunyai sijil halal dan orang ramai boleh membuat pesanan makanan tanpa was-was,” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts